Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum mengingkari mukjizat Rasul ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukjizat ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah hanya untuk para utusan-Nya sahaja agar dapat dijadikan bukti kerasulan mereka. Hanya dengan mukjizat inilah para nabi ini membuktikan kerasulannya di hadapan kaumnya.
Biasanya mukjizat itu berupa kejadian luar biasa yang tidak dapat dilakukan oleh orang biasa selain rasul. Umpamanya Nabi Musa AS dapat membelah laut menjadi daratan hanya dengan tongkat mukjizatnya. Nabi Sulaiman AS diberikan kepandaian memahami bahasa binatang dan dapat menundukkan seluruh bangsa jin.
Keunggulan seperti ini belum pernah ada manusia yang dapat menandinginya.
Antara syarat-syarat mukjizat:
Imam al-Haramain al-Juwaini (419-478H) menyatakan bahawa dinamakan dalil-dalil kebenaran para nabi dengan mukjizat-mukjizat secara meluas dan secara harus.
Sesungguhnya al-Mu’jiz ialah pencipta kelemahan, khaliq al-‘ajz dan dinamakan demikian kerana dia menzahirkan dengan mukjizat itu kelemahan orang yang bukan nabi mengadakan atau mendatangkan dengan apa yang dizahirkan kepada nabi.
- Mukjizat ialah perbuatan Allah atau pada makna perbuatan. Mukjizat bukan satu sifat qadim daripada sifat-sifat Allah SWT . Mukjizat dikhususkan kepada orang yang mendakwa dan mengaku sebagai nabi.
- Mukjizat adalah luar biasa.
- Lemah makhluk untuk menentang dan mengadakan yang seumpama dengan mukjizat.
- Mukjizat dizahirkan kepada pendakwa kenabian dan mencabar makhluk dengan mukjizatnya untuk membuktikan kebenaran kenabiannya.
- Mukjizat tidak membohongi dakwaan pendakwa kenabian. (Lihat al-Juwaini: 49-51).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan beriman kepada Rasul merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan ia merupakan salah satu daripada rukun daripada rukun-rukun iman. Siapa yang mengingkari rukun-rukun ini maka terkeluarlah dia dari agama Islam. Oleh yang demikian siapa yang mengingkari mukjizat yang diberikan kepada Rasulullah bermakna dia telah mengingkari rukun iman yang menyebabkan terjatuhnya dalam kekufuran. Yang demikian sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
(Surah al-Nisa:136)
Abu Bakar al-Jazairi ketika mentafsirkan ayat ini, beliau menyatakan bahawa: Ia adalah dalam konteks berbicara kepada Ahli Kitab secara khusus, dan kepada semua orang mukmin secara umum. Orang-orang mukmin diajak untuk memperkuat iman mereka sehingga mereka mencapai tingkat keyakinan yang tinggi. Adapun kepada Ahli Kitab, ini adalah seruan kepada mereka untuk beriman dengan benar, kerana iman yang mereka anuti tidak sempurna. Oleh itu, mereka diundang untuk beriman kepada yang sebenar . (Lihat Aisar al-Tafasir,1/556)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu Bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما مِنَ الأنْبِياءِ مِن نَبِيٍّ إلّا قدْ أُعْطِيَ مِنَ الآياتِ ما مِثْلُهُ آمَنَ عليه البَشَرُ، وإنَّما كانَ الذي أُوتِيتُ وحْيًا أوْحى اللَّهُ إلَيَّ، فأرْجُو أنْ أكُونَ أكْثَرَهُمْ تابِعًا يَومَ القِيامَةِ
Maksudnya: Tidaklah setiap Nabi melainkan dia pasti diberi tanda (sebagai bukti kenabian mereka) semisalnya, yang mana manusia beriman kepadanya. Sedangkan yang diberikan kepadaku hanyalah wahyu yang diturunkan oleh Allah. Oleh kerana itu, aku berharap menjadi nabi yang paling banyak pengikutnya (dibandingkan dengan) mereka pada Hari Kiamat.”
Riwayat Bukhari (7274) dan Riwayat Muslim(152)
Dapat difahami melalui hadith ini adalah mu’jizat para nabi telah berakhir bersama berakhirnya zaman mereka, dan hanya mereka yang hadir pada zaman tersebut yang menyaksikannya. Namun, mu’jizat Nabi kita Muhammad ﷺ, iaitu al-Quran yang terus kekal hingga hari kiamat, dengan memecahkan kelaziman dalam gaya bahasanya, keunggulan dalam ketinggian makna dan pemberitahuan tentang perkara-perkara yang ghaib. jin dan manusia tidak akan mampu untuk menandingi walaupun mereka berkumpul atau berpecah dalam pelbagai zaman, walaupun mereka merupakan generasi yang fasih dalam bahasa. (Lihat Syarh al-Nawawi li Sahih Muslim, 2/364)
Dinyatakan dalam Usul al-Iman bahawa: Iman kepada mukjizat para nabi dan karamah para wali adalah salah satu asas dari asas-asas iman, yang ditegaskan oleh nas-nas dalam al-Quran dan al-Sunnah serta realiti yang terjadi. Oleh itu, adalah wajib bagi seorang Muslim untuk meyakini kesahihan itu sebagai hakikat yang sebenar. Menolak atau mengingkari hal ini adalah menolak nas-nas yang ada dan menentang apa yang realiti, serta menyimpang dari apa yang diamalkan oleh para ulama Muslim. (Lihat Usul al-Iman fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah, hlm 204)
Begitu juga dalam Syarh al-’Aqidah al-Wasitiyyah menyebutkan bahawa para ulama bersepakat tentang kewajipan beriman dengan mukjizat para anbiya.
Antara mukjizat nabi kita Muhammad adalah al-Quran, ia merupakan mukjizat yang terbesar berbanding dengan mukjizat-mukjizat yang lain yang masih kekal sehingga kiamat . Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya: Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
(Surah al-Baqarah:23)
Begitu juga Rasulullah SAW memiliki mukjizat membelah bulan dimana peristiwa beliau membelah bulan apabila penduduk Mekah meminta bukti daripada Baginda. Maka, bulan itu terbelah menjadi dua bahagian di hadapan penduduk Mekah serta disaksikan oleh mereka dan orang lain. Yang demikian diceritakan dalam firman Allah SWT:
اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانشَقَّ الْقَمَرُ (1) وَإِن يَرَوْا آيَةً يُعْرِضُوا وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُّسْتَمِرٌّ
Maksudnya: Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.
(Surah al-Qamar: 1-2)
Selain itu juga mukjizat isra’ dan mi’raj yang diceritakan dalam surah al-Isra’ sebagaimana firmannya:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Isra’:1)
Justeru melalui nas-nas di atas jelaslah kepada kita bahawa wujudnya mukjizat Rasul dan wajib ke atas kita sebagai muslim mempercayainya. Oleh itu, seorang yang mengingkari mukjizat Rasulullah SAW dia telah mengingkari Rasul dan nas-nas al-Quran dan al-Hadith yang menceritakan tentang kebenaran mukjizat tersebut. Suka kami nasihati agar sentiasa menuntut ilmu dan mendalami ilmu agama serta berdamping dengan ‘alim ulama agar dapat menambah keyakinan dalam akidah dan pegangan islam serta dijauhkan dari kekufuran.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.
Wallahua’lam.