Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan hakikat penciptaan bumi dalam dua masa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِيّٖ وَلَا شَفِيعٍۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ ٤
Maksudnya: “Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Tidak ada bagi kamu selain dari pada-Nya seorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa’at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”
(Surah al-Sajdah: 4)
Para ulama’ telah berbeza pendapat pada menafsirkan فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh Ibn Kathir, katanya: Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini. Manakala pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ka’ab al-Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/15)
Hakikat Penciptaan Bumi Dalam Dua Masa
Firman Allah SWT:
قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْأَرْضَ فِى يَوْمَيْنِ وَتَجْعَلُونَ لَهُۥٓ أَندَادًۭا ۚ ذَٰلِكَ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Maksudnya: “Katakanlah: “Adakah patut kamu kufur terhadap Tuhan yang telah menciptakan bumi dalam masa dua hari dan kamu mengadakan bagi-Nya sekutu-sekutu? Yang menciptakan demikian itulah Tuhan sekalian alam.”
(Surah Fussilat: 9)
Masa atau hari yang dimaksudkan dalam ayat ini tidak syak lagi ialah masa atau hari Allah SWT, Dialah sahaja yang mengetahui sepanjang mana masanya. Masa atau hari yang disebutkan tersebut bukanlah hari-hari yang wujud di bumi sebagaimana hari ini kerana hari-hari bumi merupakan satu ukuran yang baru sahaja wujud selepas diciptakan bumi. Jika bumi mempunyai hari-harinya iaitu masa pusingannya di sekitar matahari, maka planet-planet dan bintang-bintang yang lain juga mempunyai hari-hari yang berlainan berbanding hari-hari di bumi. Sebahagian planet mempunyai tempoh hari yang lebih pendek daripada hari di bumi dan sebahagian yang lain pula mempunyai tempoh yang lebih panjang daripada hari di bumi.
Hari-hari diciptakan bumi, gunung-ganang dan ditentukan makanan-makanan bagi penghuninya adalah berlainan daripada hari-hari di bumi. Ia adalah had yang diukur dengan ukuran lain yang tidak ketahui oleh manusia. Namun manusia hanya tahu bahawa ia adalah jauh lebih panjang daripada hari-hari di bumi yang digunakan pada waktu kini.
Menurut perspektif sains, teori yang kuat tentang kejadian bumi ialah pada asalnya merupakan sebuah bola api yang bernyala-nyala dan berada dalam keadaan gas seperti matahari pada waktu kini. Pendapat yang kuat ialah bumi ini pada asalnya ialah sepotongan dari matahari yang terpisah daripadanya. la mengambil masa yang amat panjang hingga kulitnya menjadi sejuk dan keras. Dan bahagian dalam perutnya masih berada dalam keadaan cair kerana terlalu panas dan suhu kepanasannya boleh meleburkan batu yang sangat keras.
Apabila kulit bumi sejuk, ia kemudiannya membeku dan mengeras. Pada peringkat awal kulit bumi merupakan batu-batu yang pejal yang berlapis-lapis. Pada peringkat masa yang amat awal, lautan-lautan telah terjadi sebagai hasil daripada percantuman hidrogen dan oksigen, maka daripada percantuman keduanya terjadilah air.
Kulit bumi sentiasa bergerak dan berubah dan pergerakan ombak-ombak lautan sentiasa menjejaskan kulit bumi. Apabila air lautan mengewap dengan kekuatan cahaya matahari, maka ia akan naik ke langit lalu membentuk awan-awan yang menurunkan air hujan. Air tersebut mencurah ke bumi dengan lebatnya dan terjadilah banjir-banjir serta sungai-sungai yang mengalir pada kulit bumi dan menjejaskannya. Ia menjejaskan batu-batu bumi, menghancurkan dan mengubahnya daripada satu batu ke satu batu yang lain.
Muka bumi sentiasa berubah-ubah di sepanjang abad, beratus-ratus abad dan beribu-ribu abad. Salji-salji yang membeku di muka bumi juga bekerja seperti air yang mengalir. Angin-angin menjejaskan muka bumi sama seperti yang dilakukan air. Matahari menjejaskan muka bumi sama seperti air dan angin iaitu ia menjejaskannya dengan kekuatan api dan cahayanya yang memberi kesan terhadap permukaan bumi. Makhluk-makhluk yang hidup di bumi juga turut mengubahkan permukaannya. Begitu juga gunung-gunung berapi yang meledak dari perut bumi itu juga turut mengubah permukaannya.
Perjalanan bumi yang begitu lama yang diandaikan oleh sains moden pada hari ini mungkin dapat menolong manusia untuk memahami makna “masa atau hari” yang Allah SWT ciptakan bumi. Begitu juga dengan gunung-ganang yang teguh dengan melimpahkan keberkatan dan menentukan kadar-kadar makanan dalam masa empat hari dari hari-hari Allah SWT yang manusia tidak mengetahui hakikat sebenarnya. Apa yang pasti, ia bukanlah sebagaimana hari di bumi yang menjadi ukuran manusia pada hari ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/69-70)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”