Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara memelihara perpaduan ummah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”
(Surah Ali Imran: 103)
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut: ‘’Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka’’. Kemudian beliau berkata lagi: ‘’Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan’’. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 4/151).
Firman Allah SWT lagi:
وَإِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah umat (agama) kamu – agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka bertaqwalah kamu kepada-Ku.”
(Surah al-Mu’minun: 52)
Kedua ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran melarang umat Islam itu berpecah-belah antara satu sama lain serta seruan agar mereka sentiasa bersatu-padu dan sentiasa berpegang kepada agama Islam. Selain itu juga, al-Quran mengajar kita dengan memberi jalan keluar jika timbul sesuatu permasalahan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan.
Memelihara Perpaduan Ummah
Kesatuan akidah ialah asas perpaduan umat Islam. Bersatu kerana akidah demi menegakkan kehendak Allah SWT di atas muka bumi ini adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan senda gurau. Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bersatu padu kerana akidah. Begitu juga terdapat banyak dalil yang mencela perpecahan selain memberi amaran keras kepada pemecah belah dan pemutus tali persaudaraan sesama Islam.
Rasulullah SAW dan para sahabat R.Anhum telah menunjukkan teladan dalam melaksanakan arahan Allah SWT yang terbukti memberi impak besar kepada pembentukan hala tuju baru umat Islam dalam kehidupan. Kisah ‘Aus dan Khazraj yang melupakan kisah lama mereka demi menyahut seruan perpaduan ialah bukti yang nyata dalam al-Quran. Perpaduan yang diusahakan atas tujuan yang benar adalah penyebab kepada terselamatnya pihak yang bersengketa daripada jurang api neraka.
Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman dan cinta kepada Allah. Ini berbeza dengan konsep persaudaraan atas nama bangsa atau tanah air yang dilandasi sepenuhnya oleh semangat nasionalisme dan patriotisme. Seseorang mukmin yang merupakan saudara bagi mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah dalam kalangan adik-beradik kandung. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.
Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah iaitu persaudaraan yang membuang segala dendam kesumat, sikap penting diri dan kelompoknya. Janganlah melanggar perintah Allah ini sekiranya kita benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara serta tidak ingin melihat kehancuran ummah di tangan kita sendiri. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/103-104)
Kesimpulan
Kesatuan di atas nama akidah seharusnya menjadi keutamaan bagi seorang muslim. Perpecahan dalam kalangan umat Islam hanya akan membawa kepada kelemahan. Musuh dengan mudah menerobos masuk ke dalam saf umat Islam dan menghancurkan mereka. Umat Islam seharusnya insaf dengan melihat kepada sejarah untuk mengambil pengajaran.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”