#4792: Punca Lelaki Lembut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah punca seseorang lelaki itu menjadi lembut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, lelaki adalah dilarang menyerupai perempuan dan begitu juga perempuan dilarang menyerupai lelaki. Hal ini sama ada dalam bentuk percakapan, pemakaian, keadaaannya dan seumpamanya.

Dalam Bahasa Arab, perkataan ‘tasyabbuh’ secara bahasanya bermaksud menyerupai sesuatu.

Dari segi perbahasan fiqh pula, ianya bermaksud seorang lelaki yang menyerupai perempuan, atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut:

  • Pakaian
  • Perhiasan
  • Percakapan dan suara
  • Gaya berjalan dan gerak badan
  • Mengubah bentuk fizikal badan

Hukum tasyabbuh adalah haram bahkan termasuk salah satu daripada dosa besar kerana telah thabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5886), Abu Dawud (4953) dan al-Tirmizi (2785)

Ibn al-Athir berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)

Dalam riwayat yang lain, disebut:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Dawud (4097), al-Tirmizi (2784) dan Ibn Majah (1904)

Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. Imam al-Syaukani turut menyebut bahawa hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. (Lihat Subul al-Salam, 2/421; Nail al-Autar, 6/230)

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. ( Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/57)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh antara lain menyatakan haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Menurut Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaymeen  dalam komentarnya terhadap masalah ini, katanya, “Ini kerana penyerupaan boleh membawa kepada kecacatan sunnatullah pada makhluk-Nya yang diciptakan lelaki dan perempuan.”

Menjawab persoalan di atas, lelaki lembut didefinisikan sebagai seorang lelaki yang bergerak geri seperti perempuan, memakai pakaian perempuan, suka melakukan sesuatu yang biasanya dilakukan oleh seorang perempuan, menunjukkan minat seks terhadap kaum sejenisnya dan tiada nafsu pada kaum perempuan.[1]

Punca ‘Lelaki Lembut’ bila pasangan tidak meredhai jantina anak. Berdasarkan kajian yang dijalankan berkaitan faktor penyumbang kepada wujudnya gejala ‘lelaki lembut’, antaranya adalah kerana faktor kurangnya pemahaman agama dan didikan keluarga, antaranya kerana anak lelaki yang kurang mendapat kasih sayang dan perhatian daripada bapa.

Selain itu, ada juga yang terpengaruh dengan adik beradik perempuan yang ramai hingga menjalankan aktiviti perempuan bersama-sama seperti memakai pakaian perempuan dan bersolek tanpa mendapat teguran daripada ibu bapa yang turut menyumbang kepada gejala ‘lelaki lembut’. Terdapat juga ibu bapa yang memakaikan baju perempuan kepada anak lelaki kerana keinginan yang tinggi untuk mempunyai anak perempuan, tetapi tidak kesampaian. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/139)

Kesimpulan

Justeru, hukum menjadi lelaki lembut adalah haram dan wajar dibanteras dari awal lagi. Bagi mengelakkan kejadian seperti ini, ibu bapa wajib redha terhadap jantina anak mereka dan mendidik anak-anak mereka sesuai dengan jantina mereka.

Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berusaha bagi mendapatkan zuriat dan seterusnya bertawakal kepada Allah SWT atas usaha yang dilakukan. Tidak kiralah jantina apa pun yang Allah SWT anugerahkan sebagai zuriat, semuanya memiliki hikmah yang besar. Kewajipan ibu bapa adalah mendidiknya dengan bimbingan wahyu Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota kaki:

[1] Haji Wan Halim Othman (1987) dalam kajiannya yang bertajuk Dilema Mak Nyah di dalam Masyarakat Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM). https://www.scribd.com/doc/71667177/2E