Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan teori materialisme?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Harta merupakan perkara yang amat dikehendaki oleh setiap manusia yang waras. Bahkan mereka cinta dan kasih kepadanya. terlalu banyak nas Ilahi menunjuk ke arah itu. Antaranya:
Firman Allah SWT:
وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا
Maksudnya: “Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba”
(Surah al-Fajr: 20)
Al-Maraghi berkata: Kecenderunganmu menghimpun seluruh harta kekayaan adalah berlebih-lebihan. Sama ada harta itu berupa warisan mehupun bukan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7580)
Firman Allah SWT lagi:
وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ
Maksudnya: Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).
(Surah al-‘Adiyat: 8)
Al-Sabuni berkata bahawa sesungguhnya manusia amat cintakan harta dan loba untuk mengumpulnya. Dengan sebab itu, kecintaan kepada Allah serta syukur atas nikmat-Nya menjadi lemah dan berkurangan. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/567)
Firman Allah SWT:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّـهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
(Surah Ali Imran: 14)
Al-Wahidi berkata: Dihiasi bagi manusia cintakan syahwat disebut dalam bentuk banyak ialah yang menyebabkan runtunan nafsu kepada sesuatu terutamanya harta yang banyak yang dihimpunkan. (Lihat al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, 1/306)
Penolakan Terhadap Teori Materialism
Sejak dahulu, manusia dari masa ke masa selalu mempersoalkan proses penciptaan alam semesta. Bermula dari pertanyaan sederhana itu, kemudian terciptalah pelbagai teori tentang penciptaan alam semesta. Antara pelbagai teori tersebut, yang paling terkenal adalah teori Materialisme.
Materialisme merupakan salah satu aliran dalam ilmu falsafah yang dikembangkan oleh para ahli falsafah Yunani Kuno. Materialisme adalah aliran yang memandang bahawa alam semesta sudah ada sejak waktu yang tak terbatas. Menurut penganut fahaman materialisme, alam tidak memiliki awal maupun akhir. Teori ini juga meyakini bahawa alam semesta tidak diciptakan, tetapi ada dengan sendirinya. Segala sesuatu dalam alam semesta hanyalah peristiwa kebetulan atau ketidaksengajaan dan bukan merupakan hasil dari sebuah rancangan atau visi yang disengaja.
Dalam Islam, penciptaan alam semesta dengan sistem yang tersusun rapi dan ekosistem yang teratur adalah bukti yang paling jelas menunjukkan keesaan Allah SWT, Pencipta alam semesta. Ia tidak mungkin terjadi dengan sendiri. Kaum musyrikin yang enggan untuk beriman kepada keesaan Allah SWT telah menjadikan sembahan selain dari Allah SWT, namun mereka tidak dapat menyangkal penciptaan langit dan bumi serta segala kehidupan adalah ciptaan Allah SWT. Di sini, al-Quran membawa mereka untuk berfikir dengan lebih matang bahawa ciptaan alam semesta adalah bukti keesaan Allah SWT dan tiada tuhan yang layak disembah selainNya. Perkara ini jelas jika mereka memerhatikan kepada sistem yang sama tersusun rapi dan ekosistem yang teratur tanpa ada percanggahan antara sistem tersebut yang menunjukkan ia adalah ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Di samping itu, penciptaan alam semesta juga menunjukkan dengan jelas bahawa manusia akan dibangkitkan semula selepas kematian sebagaimana mereka telah diciptakan oleh Allah SWT pada permulaannya daripada tiada kepada ada. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/152)
Kesimpulan
Hendaklah kita bersyukur kepada Allah di atas pelbagai nikmat dan kemudahan yang telah disediakan oleh Allah kepada kita di atas muka bumi ini. Umat Islam hendaklah mengingati Allah dalam menjalani kehidupan seharian dengan mengamalkan doa-doa yang termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Amalan membaca doa-doa ini adalah tanda yang menunjukkan iman dan syukur kepada Allah di atas segala nikmat yang perolehi.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”