#4796: Kesilapan Agama Nasrani

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kepercayaan agama nasrani kepada Nabi Isa AS berbeza dengan kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَمَّا جَآءَ عِيسَىٰ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِٱلْحِكْمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ ٱلَّذِى تَخْتَلِفُونَ فِيهِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ ٦٣ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ

Maksudnya: “Apabila Nabi Isa datang dengan keterangan-keterangan yang jelas tentang kerasulannya, Baginda berkata, “Sesungguhnya aku datang kepada kamu semua bersama dengan membawa hikmat supaya aku dapat menerangkan kepada kamu sebahagian apa yang kamu perselisihkan. Justeru, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” “Sesungguhnya Allah adalah Tuhan aku dan Tuhan kamu semua maka sembahlah Dia. Ini adalah jalan yang lurus.”

(Surah al-Zukhruf: 63-64)

Tatkala Nabi Isa A.S datang membawa keterangan, Baginda A.S menjelaskan bahawa kedatangan Baginda dengan membawa hikmat kenabian dan menjelaskan sebahagian dari apa yang diperselisihkan tentangnya. Ibnu Jarir al-Tabari menegaskan bahawa maksud perkara yang diperselisihkan ialah dalam urusan agama, bukan urusan duniawi.  (Lihat Tafsir al-Tabari, 7/217)

Justeru, bertakwalah kepada Allah SWT dalam semua hal yang diperintahkan untuk mengerjakannya dan taatlah kepada Allah SWT dalam semua yang disampaikan. Hal ini kerana Rasulullah SAW dan kalian semua adalah hamba-hamba Allah SWT dan berhajat kepada-Nya, sama-sama diperintahkan untuk menyembah kepada-Nya semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya. Apa yang disampaikan kepada kalian ini adalah jalan yang lurus iaitu menyembah Allah SWT semata-mata.

Kesilapan dan Penyelewengan Agama Nasrani

Nabi Isa A.S merupakan salah seorang nabi yang termasuk dalam kalangan Ulul Azmi serta mempunyai salah satu mukjizatnya iaitu lahir tanpa adanya seorang ayah. Oleh sebab itu, Baginda mendapat gelaran Ruhullah kerana Nabi Isa A.S diciptakan oleh Allah SWT dengan meniupkan ruh ke dalam rahim ibunya Maryam binti Imran.  Baginda dikurniakan kitab Injil. Antara mukjizat Nabi Isa A.S ialah Baginda dapat menyembuhkan orang yang menderita penyakit kusta, memulihkan kembali penglihatan orang buta dan lain-lain.

Menjawab persoalan di atas, benar, kepercayaan agama nasrani berkenaan nabi Isa A.S adalah berbeza dengan agama Islam. Hal ini kerana mereka ajaran Nabi Isa A.S telah diselewengkan.

Terdapat 5 rukun asas dalam agama Kristian sama ada Katolik, Protestan atau Ortodok iaitu:

  • Teori triniti.: Teori triniti ialah kepercayaan bahawa terdapat tiga tuhan yang berasingan dan berbeza antara satu sama lain. Ketiga-tiga tuhan tersebut bersekutu dalam ketuhanan iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruhul Qudus.
  • Ketuhanan Jesus al-Masih: Penganut Kristian mempercayai bahawa Jesus adalah Tuhan dalam bentuk jasad manusia. Mereka menyakini Jesus kekal tidak mati.
  • Jesus anak Allah: Teori ketiga dalam kepercayaan Kristian ialah Jesus adalah anak tuhan. Mereka mempercayai penggunaan perkataan anak dalam Taurat dan Injil adalah dengan makna hakiki, bukan kiasan.
  • Dosa pertama yang diwarisi daripada Nabi Adam: Mereka mempercayai bahawa Nabi Adam A.S telah melakukan dosa kepada Allah SWT apabila memakan buah daripada pohon pengetahuan dalam syurga. Dosa ini diwarisi oleh keturunannya. Ia bermaksud bahawa setiap anak yang dilahirkan menanggung dosa Nabi Adam A.S.
  • Kafarah: Orang Kristian beriktikad bahawa Jesus telah membayar harga kepada dosa pertama iaitu dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam A.S dan dosa-dosa yang berlaku selepas mati disalib. Seseorang tidak terlepas daripada dosa pertama dan semua dosa jika tidak mempercayai bahawa darah Jesus yang mengalir pada salib telah menyelamatkannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/739)

Kesimpulan

Nabi Isa A.S adalah seorang  hamba dan utusan Allah SWT. Umat Islam bertanggungjawab untuk menerangkan kepada penganut agama Kristian tentang hakikat kebenaran ini dengan menolak bahawa Baginda adalah anak Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”