#4798: Golongan Qadariyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara kita balas hujah golongan qadariyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

لَوَدِدْتُ أَنَّ عِنْدِي رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْقَدَرِ فَوَجَأْتُ رَأْسَهُ، قَالُوا: وَلِمَ ذَاكَ؟ قَالَ: لِأَنَّ اللهَ خَلَقَ لَوْحًا مَحْفُوظًا مِنْ دُرَّةٍ بَيْضَاءَ، دَفَّتَاهُ يَاقُوتَةٌ حَمْرَاءُ، قَلَمُهُ نُورٌ، وَكِتَابُهُ نُورٌ.

Maksudnya: “Aku berkehendak dan bercita-cita bahawa di sisiku terdapat seorang lelaki dari puak ahli qadar lantas aku pukul kepalanya. Mereka bertanya: “Kenapa berbuat demikian?” Jawabnya: “Kerana Allah telah menciptakan Lauh Mahfuz dari permata putih, kedua-dua tepinya daripada yaqut merah, sedangkan qalam-Nya adalah cahaya, dan kitab-Nya adalah cahaya…”

Riwayat al-Tabarani (10605). Al-Haithami menyebut dalam Majma‘ al-Zawa’id (7/393): Al-Tabarani meriwayatkannya daripada dua jalur, dan para perawi ini adalah thiqah.

Al-Qadariyyah adalah salah satu aliran pemikiran awal dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam. Aliran ini juga dikenali sebagai mazhab al-Ikhtiyariyyah. (Lihat Tarikh al-Firaq al-Islamiyyah wa Nasy’ah ‘Ilm al-Kalam ‘Ind al-Muslimin oleh al-Ghurabi, hlm. 32)

Aliran ini dipelopori oleh Ma’bad al-Juhani dan Ghaylan al-Dimasyqi yang dikatakan melawan aliran al-Mujbirah atau al-Jabariyyah yang dipelopori oleh Jahm bin Safwan. Al-Qadariyyah juga merupakan aliran falsafah dalam Islam yang pertama dan ia menjadi laqab kepada aliran yang kemudiannya dikenali sebagai al-Mu’tazilah. (Lihat al-Munyah wa al-Amal oleh Ibn al-Murtada, hlm.149 dan al-Mu‘tazilah oleh Zuhdi Hasan Jar Allah, hlm.6)

Qadariah berasal daripada perkataan qadara yang bermaksud kekuatan. Golongan Qadariah percaya bahawa tidak ada campur tangan Tuhan dalam segala perkara yang dilakukan manusia. Mereka berpandangan bahawa tidak ada sebab untuk mengaitkan perbuatan manusia dengan Tuhan. Ada tiga kepercayaan golongan Qadariah, iaitu:

  • Manusia mempunyai kemampuan untuk bertindak
  • Manusia mempunyai kemampuan untuk membuat pilihan
  • Manusia yang membuat keputusan untuk berbuat baik atau buruk, tanpa melibatkan Allah

Menjawab persoalan di atas, ulama tafsir ketika membahaskan mengenai ayat:

أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍۢ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةًۭ فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Allah menyesatkan orang tersebut dengan ilmu-Nya. Dia memateri pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup pada penglihatannya. Siapakah yang mampu memberinya hidayah setelah dia disesatkan oleh Allah?”

(Surah al-Jathiyah: 23)

Mereka menyatakan bahawa ayat di atas adalah merupakan dalil bagi menolak hujah  golongan Qadariyyah yang menyatakan bahawa manusia mencipta perbuatannya sama ada dalam bentuk iktikad, perbuatan baik mahupun perbuatan buruk. Hal ini kerana Allah SWT menyatakan secara jelas bahawa Dia menghalang petunjuk terhadap segolongan manusia dengan cara dipaterikan pendengaran dan ditutupkan penglihatan. Pernyataan ini menjelaskan bahawa Allah SWT yang menciptakan perbuatan manusia, bukan manusia yang menciptakan perbuatannya sendiri. Adapun manusia hanya memilih perbuatan-perbuatan baik dan buruk yang diciptakan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/257)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”