#4799: Cara Mengelakkan Khilaf dan Selisih

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara mengatasi perkara khilaf terutamanya dalam bab membaca al-Quran dan agama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, menguruskan khilaf merupakan hal yang terbaik terutamanya memahami Fiqh dan Adab al-Khilaf. Akan tetapi, ramai yang terjerumus ke arah persengketaan dan kebencian antara satu sama lain. Petunjuk Ilahi mengajar kita untuk kembali kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Rasulullah SAW melarang banyaknya khilaf dan bertanya perkara yang tidak memberi faedah. Daripada  Abu  Hurairah,  Abd al-Rahman  bin  Sakhr  R.A,  beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ واخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Maksudnya: “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang  aku  perintahkan  maka  hendaklah  kamu  laksanakan  sedaya  upaya  kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum  kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.”

Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)

Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang aku perintahkan maka lakukanlah…” Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Ia merupakan ungkapan yang singkat namun padat dan menjadi salah satu prinsip penting dalam Islam. Termasuk dalam prinsip ini adalah masalah-masalah hukum yang tidak terhitung banyaknya, di antaranya adalah solat. Contohnya pada ibadah solat apabila seseorang itu tidak mampu melaksanakan sebahagian daripada rukun atau sebahagian daripada syaratnya, maka hendaklah dia melakukan apa yang dia mampu.” (Lihat al-Kafi, hlm. 115)

Dalam menjawab persoalan di atas juga, kami kemukakan tiga buah hadith:

Daripada Jundab bin Abdullah al-Bajali, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا القُرْآنَ مَا ائْتَلَفَتْ قُلُوبُكُمْ، فَإِذَا اخْتَلَفْتُمْ فَقُومُوا عَنْهُ.

Maksudnya: “Bacalah al-Qur’an selama hati kamu bersatu, apabila kamu berselisih, maka beredarlah daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (7364)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

لَمَّا حُضِرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ، وَفِي البَيْتِ رِجَالٌ فِيهِمْ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: «هَلُمَّ أَكْتُبْ لَكُمْ كِتَابًا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ»، قَالَ عُمَرُ: إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَلَبَهُ الوَجَعُ وَعِنْدَكُمُ القُرْآنُ فَحَسْبُنَا كِتَابُ اللَّهِ، وَاخْتَلَفَ أَهْلُ البَيْتِ وَاخْتَصَمُوا، فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ: قَرِّبُوا يَكْتُبْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِتَابًا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ مَا قَالَ عُمَرُ، فَلَمَّا أَكْثَرُوا اللَّغَطَ وَالِاخْتِلاَفَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «قُومُوا عَنِّي»، قَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ، فَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يَقُولُ: «إِنَّ الرَّزِيَّةَ كُلَّ الرَّزِيَّةِ مَا حَالَ بَيْنَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ أَنْ يَكْتُبَ لَهُمْ ذَلِكَ الكِتَابَ مِنَ اخْتِلاَفِهِمْ وَلَغَطِهِمْ»

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW menjelang wafat, dia berkata – di rumah saat itu terdapat beberapa lelaki, antara mereka Umar bin al-Khattab R.A – Baginda bersabda: “Marilah aku tuliskan untuk kalian satu tulisan yang kalian tidak akan tersesat selamanya.” Umar berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW sedang tenat dan di sisi kamu ada al-Quran. Cukuplah bagi kita kitab Allah.” Maka terjadi perselisihan di kalangan ahli rumah lalu bertengkar, sebahagian mengatakan: Dekatkan padanya (alat tulis) agar Rasulullah SAW menulis untuk kalian tulisan yang kalian tidak akan tersesat sesudahnya, dan sebahagian lagi mengatakan seperti pendapat Umar. Ketika mereka semakin bising dan berselisih di sisi Nabi SAW maka Baginda bersabda: “Bangun kalian daripadaku (tinggalkan aku).” ‘Ubaidullah berkata: Ibn Abbas berkata: “Sesungguhnya ini adalah suatu musibah yang sangat besar, terhalangnya Rasulullah SAW daripada menulis tulisan itu untuk mereka disebabkan perselisihan dan hiruk-pikuk mereka.”

Riwayat al-Bukhari (7366)

Sebelum kami akhiri jawapan ini, sebuah pesanan Rasulullah SAW yang wajar kita ikutinya: Daripada  Abu Najih al-Irbadh bin Sariah RA, katanya: Rasulullah SAW  memberi nasihat  kepada  kami yang  membuatkan  hati  kami  bergetar  dan  air  mata  kami bercucuran. Maka kami berkata: “Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.” Rasulullah SAW bersabda:

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيرًا؛ فَعَلَيكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّـةِ الْـخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْـمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ؛ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ.

Maksudnya: “Saya wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada  dalam kalangan kamu  yang  hidup  (setelah  ini)  akan  menyaksikan  banyaknya  berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat  petunjuk,  gigitlah  (peganglah  dengan  kuat)  dengan  geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesat.”

Riwayat Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (2678), beliau berkata: Hasan sahih

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)