Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah istighfar boleh menjadi terapi diri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Istighfar merupakan suatu lafaz yang diungkap yang lahir daripada penyesalan terhadap perkataan mahupun perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan. Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah SWT sambil memohon ampun terhadap segala dosa dan kesalahan yang dilakukan.
Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya beristighfar dan bertaubat. Firman Allah SWT:
وَٱسْتَغْفِرُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۢ
Maksudnya: Mohonlah keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah al-Muzammil: 20)
Rasulullah SAW walaupun seorang yang maksum dan telah dijanjikan syurga tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.
Riwayat al-Bukhari (6307)
Terdapat juga satu lafaz istighfar yang dikenali sebagai sayyidul istighfar yang bermaksud penghulu istighfar. Lafaznya ialah:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي؛ فَاغْفِرْ لِي؛ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: Ya Allah! Dikaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkanMu. Dikaulah yang telah menciptaku dan aku ini adalah hamba-Mu. Semampuku, akan daku setia dengan janjiku kepada-Mu. Aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang daku lakukan. Daku mengiktiraf nikmat-Mu kepadaku, dan daku juga mengakui dosaku (kepada-Mu). Ampunkanlah daku kerana tiada siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa melainkan Dikau
Riwayat al-Bukhari (6306)
Istighfar boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Namun, ada beberapa masa khusus yang disarankan untuk dilafazkan istighfar, antaranya ialah setelah menunaikan ibadah seperti haji dan solat. Ia juga disarankan untuk dibaca pada waktu sahur dan pada akhir majlis.
Istighfar dan zikir juga mampu memberi ketenangan kepada sesiapa yang mengamalkannya. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
Maksudnya: Mereka ialah orang-orang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingati Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati manusia akan tenang.
(Surah al-Ra’d: 28)
Selain daripada itu, istighfar juga boleh jadi penyebab kurniaan nikmat daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT berfirman:
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا ١٠ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا ١١ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا ١٢ مَّا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًۭا
Maksudnya: Lalu aku berkata kepada mereka, “Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu. Dan Dia membanyakkan harta dan anak-pinak kepada kamu, serta menjadikan bagi kamu kebun, tanaman dan juga sungai-sungai. Mengapakah kamu tidak menghormati keagungan Allah?
(Surah Nuh: 10-13)
Menurut Dr. Rizal Abu Bakar iaitu pengasas Modul Otak Cerdik Otak Cantik, amalan berzikir mampu meningkatkan aktiviti otak. Apa sahaja zikir yang disebut, ia mampu menurunkan gelombang otak. Kesannya adalah pada bahagian otak belakang dahi yang dikenali sebagai “Prefontal Cortex” (PFC). PFC umpama induk bagi otak manusia. Zikir juga mampu mengalihkan aktiviti otak daripada bahagian yang memproses bahasa ke bahagian yang memproses emosi. [1]
Justeru, istighfar atau sebarang bahasa zikir yang baik lagi indah akan diproses dan dialih oleh otak kepada emosi. Sudah tentu perkataan yang baik melahirkan emosi yang elok lagi stabil. Maka tidak hairanlah, mereka yang sentiasa berzikir akan sentiasa tenang dan stabil emosinya. Sungguh besar manfaat zikir.
Di samping itu, zikir juga boleh melegakan hormon stres. Apabila seseorang dalam keadaan stres, tubuh badan akan merembeskan sejenis hormon steroid yang dikenali sebagai kortisol. Sebarang tekanan sama ada mental atau fizikal boleh menaikkan penghasilan dan perembesan kortisol. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/326-328)
Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. (Lihat al-Azkar, hlm. 158)
Kesimpulan
Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Jangan berhenti daripada memohon keampunan daripada Allah SWT. Yakinlah Allah SWT Maha Pengampun. Besar manapun kesalahan dan dosa yang dilakukan, besar lagi keampunan-Nya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Nota kaki:
[1] https://neuroversiti.com/zikir-otak , diakses pada 11 Mac 2022