#4806: Mengikat Janggut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang itu mengikat janggutnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan janggut. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, janggut ditakrifkan sebagai bulu yang tumbuh di dagu.[1] Dalam bahasa Arab, janggut disebut sebagai al-Lihyah (اللِّحْيَة). Syeikh Ibn Sidah dalam Lisan al-Arab menyatakan: “Lihyah merupakan suatu nama yang merangkumi jenis bulu yang tumbuh atas kedua-dua pipi dan dagu.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/241)

Bahkan menurut kesepakatan ulama, memelihara janggut adalah dituntut oleh syarak. Ini dapat dilihat melalui riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Selisihilah orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai.”

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ

Maksudnya: “Pendekkanlah misai, dan peliharalah janggut kerana menyelisihi Majusi.”

Riwayat Muslim (260)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa mengikat janggut dihukumkan sebagai makruh. Sebaliknya dalam Islam, janggut hanya dianjurkan untuk dirapikan dan dilarang untuk dicukur mahupun diikat, tidak kira dalam solat mahupun di luar solat.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa di antara perkara yang dihukumkan sebagai makruh adalah mengikat janggut. Diriwayatkan dalam Sunan Abi Daud dan kitab selainnya, daripada riwayat Ruwaifi‘ R.A dengan sanad yang baik, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku:

يَا رُوَيْفِعُ لَعَلَّ الْحَيَاةَ سَتَطُولُ بِك فَأَخْبِرْ النَّاسَ أَنَّهُ مَنْ عَقَدَ لِحْيَتَهُ أَوْ تَقَلَّدَ وَتَرًا أَوْ اسْتَنْجَى بِرَجِيعِ دَابَّةٍ أَوْ عَظْمٍ فَإِنَّ مُحَمَّدًا منه برئ

Maksudnya: “Wahai Ruwaifi‘, boleh jadi kamu akan panjang umur, maka khabarkan kepada manusia bahawa sesiapa yang mengikat janggutnya atau memasang azimat dari tali busur atau membuat azimat dengan tahi atau tulang binatang, maka sesungguhnya Muhammad berlepas diri daripadanya.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/292).

Begitu juga al-Syaukani turut menyebutkan beberapa perkara makruh yang berkaitan dengan janggut, dan salah satu daripadanya adalah mengikat janggut serta menjalinnya (menganyamnya). (Lihat Nail al-Autar, 1/150).

Kami dapati sebahagian daripada non-Muslim mengikat janggut dan menjadi trend. Justeru, mengambil umum hadith Nabi SAW, walaupun sama-sama mempunyai janggut, tetapi hadith menyebut:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Selisihilah orang-orang musyrik.”

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=janggut. Diakses pada 30 November 2023.