#4808: Surah al-Fath dan Perjanjian Hudaibiyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana pandangan ulama’ berkenaan ayat pertama surah al-Fath?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,”

(Surah al-Fath: 1)

Surah al-Fath ini diturunkan pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah selepas mengadakan Perjanjian Hudaibiyah, diturunkan dalam perjalanan pulang Rasulullah SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah selepas termaktubnya perjanjian itu. Perjanjian tersebut termaktub di antara umat Islam dan musyrikin Makkah setelah mereka menghalang Rasulullah SAW dan para sahabat yang berjumlah 1400 orang daripada memasuki Makkah walaupun Baginda dan para sahabat datang bukan untuk berperang, tetapi untuk menunaikan umrah. Umat Islam pada ketika itu tidak membawa senjata melainkan pedang yang tersimpan di dalam sarungnya.

Apabila musyrikin Makkah mengetahui kedatangan Rasulullah SAW dan para sahabat R.Anhum, mereka telah menyediakan satu pasukan tentera bagi menghalang perjalanan rombongan umat Islam tersebut. Setelah perkara tersebut diketahui oleh Baginda SAW, maka Baginda mengutus Uthman R.A bagi untuk berunding dengan golongan musyrikin Makkah dan menyatakan hasrat kedatangan umat Islam ke Makkah. Namun, Baginda SAW mendapat khabar berita bahawa musyrikin Makkah telah membunuh Uthman R.A. Lalu Rasulullah SAW mengajak para sahabat yang bersamanya di waktu itu untuk berhimpun di bawah pohon samurah dan berjanji setia untuk berperang bersamanya sekiranya umat Islam diserang oleh musyrikin Makkah dan tidak melarikan diri dari peperangan tersebut. Perjanjian dinamakan sebagai Baiah al-Ridhwan.

Apabila musyrikin Makkah mendengar peristiwa baiah tersebut mereka merasa gerun, lalu mereka mengajak untuk mengadakan perdamaian bersama umat Islam. Lalu berlakulah Perjanjian Hudaibiyah di antara umat Islam dan musyrikin Makkah dengan genjatan senjata di antara mereka selama 10 tahun serta terma dan syarat perjanjian yang telah dijanjikan kedua-dua belah pihak. Walaupun sebahagian para sahabat melihat perjanjian ini lebih menyebelahi dan menguntungkan golongan musyrikin serta merugikan umat Islam. Namun hakikatnya, perjanjian tersebut telah menjadi suatu asbab kepada pembukaan yang jelas (fathan mubina), iaitu pembukaan kota Makkah yang berlaku pada tahun kelapan hijrah.

Pandangan Ulama’ Berkenaan Ayat Pertama Surah al-Fath

Surah ini dimulakan dengan kata kerja lepas (sighah madhi) menunjukkan janji dan kepastian berlakunya al-fath iaitu kemenangan kepada Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.  Ia turut diteguhkan dengan huruf (إنّ) bagi menolak keraguan yang meniti di dalam hati sebahagian umat Islam berkenaan kemenangan tersebut, selepas Nabi SAW dan para sahabat tidak dapat memasuki kota Makkah bagi menunaikan umrah kerana dihalang oleh musyrikin Makkah. Para ahli tafsir berbeza pendapat dalam mentafsirkan kalimah “al-fath” di dalam ayat ini. Majoriti menyatakan bahawa ia adalah Perjanjian Hudaibiyah kerana perjanjian yang termeterai di antara umat Islam dan orang musyrik Makkah ketika itu dilihat berat sebelah dan mengunci umat Islam. Justeru, Allah SWT menjanjikan pembukaan dan perungkaian perjanjian tersebut kepada Nabi SAW dan umat Islam.

Ibn ‘Asyur mengatakan bahawa Perjanjian Hudaibiyah dianggap sebagai “al-Fath” kerana ia merupakan sebab kepada berlakunya Pembukaan Kota Makkah. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 26/144)

Sebahagian ahli tafsir pula mengatakan bahawa “al-fath” tersebut merujuk kepada Pembukaan Kota Makkah yang dinyatakan Allah SWT dalam surah ini sebagai suatu janji dan berita yang menggembirakan Nabi SAW dan umat Islam. Allah SWT turut menjelaskan bahawa “al-fath” tersebut menjadi sebab kepada kemulian bagi Baginda SAW di dunia dan akhirat meliputi empat nikmat yang besar iaitu;

  • Pengampunan yang meninggikan darjat Baginda SAW.
  • Penyempurnaan nikmat dengan meninggikan agama Islam.
  • Pemberian petunjuk hidayah dengan penetapan di atas jalan Islam yang lurus dan peninggian syiar-syiarnya.
  • Kemenangan yang besar kepada Nabi Muhammad SAW.

Al-Zamakhsyari mentafsirkan bahawa “al-fath” ini menjadi sebab kepada limpahan empat nikmat tersebut kerana ia menuntut kepada jihad melawan musuh. Di dalam Perjanjian Hudaibiyah, meskipun tidak berlaku pertempuran yang besar, namun masih berlaku penentangan dengan yang melibatkan lemparan anak panah dan batu. (Lihat  al-Kassyaf, 4/332)

Di samping kelebihan yang dikhususkan kepada Rasulullah SAW ini, Allah turut menjanjikan limpahan nikmat-Nya ke atas orang yang beriman di kalangan sahabat yang berjanji setia bersama Rasulullah SAW di dalam peristiwa Baiah al-Ridhwan dan juga Perjanjian Hudaibiyah, iaitu ketenangan hati dan jiwa yang dapat mengukuhkan keimanan  mereka terhadap perancangan Allah SWT dan kepatuhan mereka terhadap perintah Baginda SAW walaupun di saat yang genting dan getir tersebut.

Ini kerana di dalam peristiwa tersebut, para sahabat merasa terkilan dan kecewa kerana tidak dapat memasuki Makkah sebagaimana yang dilihat oleh Baginda SAW di dalam mimpinya sebelum itu. Ia turut ditambah dengan kesangsian dan perasaan tidak puas hati mereka kerana terma dan syarat Perjanjian Hudaibiyah yang dilihat sangat menguntungkan golongan musyrikin. Dengan janji Allah SWT di atas Pembukaan Kota Makkah, turunnya ketenangan ke atas jiwa mereka, lalu  meneguhkan lagi keimanan mereka terhadap perancangan Allah SWT serta menambah ketaatan mereka terhadap perintah-Nya dan perintah Baginda SAW. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/348-349)

Kesimpulan

Hakikatnya tiada keraguan dan kesangsian untuk berlakunya kemenangan dan bantuan yang dijanjikan Allah SWT kepada Nabi SAW dan umat Islam di awal surah ini, kerana Allah SWT yang memiliki seluruh tentera di langit dan di bumi yang dapat membuka jalan berlakunya kemenangan tersebut, meskipun pada pandangan mata manusia ia sukar untuk berlaku.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.  Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”