Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith agar kita berdoa kepada Allah supaya selamat dari kemungkaran akhlak, hawa nafsu dan keadaan yang buruk serta penyakit yang membahayakan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Mengikut lafaz yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, iaitu daripada Ziyad bin ‘Ilaqah, daripada bapa saudaranya, bahawa Nabi SAW membaca doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ، وَالْأَهْوَاءِ، وَالْأَسْوَاءِ، وَالْأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada kemungkaran akhlak (akhlak-akhlak yang keji), mengikut hawa nafsu, keadaan yang buruk dan penyakit yang berbahaya.”
Riwayat Ibn Hibban (960)
Manakala mengikut lafaz dalam riwayat al-Tirmizi, daripada Ziyad bin ‘Ilaqah, daripada bapa saudaranya, bahawa Nabi SAW membaca doa:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan akhlak, amalan dan hawa nafsu.”
Riwayat al-Tirmizi (3591)
Di dalam riwayat al-Hakim terdapat perbezaan sedikit iaitu pada kalimah ‘الْأَسْوَاءِ ‘ di mana dalam riwayat al-Hakim disebut dengan lafaz ‘perbuatan yang buruk’ dan bukannya ‘keadaan yang buruk’. (Lihat al-Mustadrak, 1/714) Adapun dari sudut status hadith ini, ia disahihkan oleh Imam Ibn Hibban dan juga Imam al-Hakim. Imam al-Hakim menyatakan hadith ini sanadnya sahih mengikut syarat Imam Muslim.
Hadith ini mendorong kita agar menjauhkan diri daripada akhlak yang keji serta menyeru kita agar berakhlak dengan akhlak yang terpuji di samping beramal dengan amalan soleh. Antara yang dimaksudkan dengan kemungkaran akhlak adalah seperti ‘ujub, takabbur, sombong, bangga diri, hasad dengki, mengangkat diri dan zalim.
Adapun kemungkaran amalan pula adalah seperti zina, meminum arak dan perkara-perkara haram yang lain. Manakala kemungkaran hawa nafsu pula bermaksud pegangan (i’tiqad) yang salah, tujuan yang batil (salah), pemikiran yang merosakkan serta adab yang mengaibkan. (Lihat Nuzhah al-Muttaqin, 2/242)
Maksud “penyakit yang berbahaya” di dalam doa tersebut adalah seperti penyakit kusta, sopak, batuk kering, penyakit rongga paru-paru atau seumpamanya yang mana kesemuanya adalah penyakit yang berbahaya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/110) Untuk itu, lafaz hadith atau doa ini adalah bersifat umum. Maka ia boleh dimaksudkan dengan apa jua penyakit yang berbahaya.
Nabi SAW selalu berdoa agar dipelihara oleh Allah SWT daripada penyakit-penyakit yang berbahaya ini serta memohon agar dijauhi daripada seburuk-buruk penyakit. (Lihat Subul al-Salam, 2/673. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-466 untuk bacaan lanjut)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”