#4814: Doa Yang Dianjurkan Ketika Bermusafir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah doa yang dianjurkan ketika ingin melakukan musafir ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Al-Sa’di menyatakan : Ini adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, dan kurniaan-Nya yang agung  di mana Allah SWT menyeru hambaNYA kepada apa yang dapat memberi manfaat bagi agama dan dunia mereka, serta memerintahkan mereka untuk berdoa kepadaNYA baik doa  tersebut adalah doa untuk beribadah mahupun doa permohonan dan Dia menjanjikan untuk mengabulkan doa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, Hlm.740)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : Ini adalah dari anugerah-Nya yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Dengan kemurahan-Nya Dia memanggil hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia menjawab doa-doa mereka. Seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri:  orang yang paling dicintai-Nya oleh hamba-hamba-Nya adalah orang yang paling banyak memohon kepada-Nya, dan orang yang paling dibenci-Nya adalah orang yang tidak memohon kepada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/153)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan islam amat menganjurkan doa dalam setiap aspek kehidupan. Ini kerana doa bukan sahaja menunjukkan perhambaan kepada Allah bahkan menunjukkan kebergantungan harap kepada pencipta kita. Allah SWT maha berkuasa dalam setiap suatu dan dia mampu mengubah hal keadaan hambanya. Oleh yang demikian, Allah memerintahkan hambanya untuk berdoa dan dia memberikan janji untuk  mengabulkannya.

Rasulullah SAW pernah  mengajar sahabat satu doa ketika ingin melakukan permusafiran sebagaimana hadith  yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Umar bahawa beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ ، كَبَّرَ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا ، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ ،اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى ،وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا ،وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ ،وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ .وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.”

(Riwayat Muslim:1342)

Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini menunjukkan sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini. Dan telah banyak zikir-zikir dan doa-doa berkaitan permusafiran ini yang mana aku telah himpunkannya di dalam kitab al-Azkar. Maksud “وَعْثَاءِ” adalah kesukaran dan keperitan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud berubahnya diri seseorang itu kepada kesedihan atau seumpama dengannya dan maksud “الْمُنْقَلَبِ” pula adalah perubahan (yang buruk pada harta dan keluarga).” (Lihat, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 111/9)

Begitu juga Ibu ‘Alan menyatakan: Memohon perlindungan dari kejahatan makhluk yang terdapat di pelbagai tempat dan doa orang yang dizalimi,  disebutkan dalam doa perjalanan kerana ia merupakan perlindungan dari bencana, musibah, dan kesukaran semasa perjalanan, atau mungkin kerana doa orang yang tertindas yang melakukan perjalanan tanpa mendapat pertolongan atau bantuan lebih dekat untuk diperkenankan(Lihat Mukhtasar fi Ahkam al-Safar, hlm.50)

Apabila pulang dari permusafiran kita juga disunatkan untuk membaca doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas R.A, katanya:

أقْبلْنَا مَعَ رَسولِ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم حَتَّى إِذا كُنَّا بِظَهْر الْمَدِينَةِ قَالَ: آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ ‏،‏‏ فَلَمْ يَزَلْ يَقُولُ ذَلِكَ حَتَّى قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ.

Maksudnya: “Kami pulang bersama Rasulullah SAW hingga sampai di Kota Madinah, lantas Baginda berdoa dengan menyebut: Kami kembali bertaubat, beribadat) آیبون تائبون عابدون لربنا حامدون kepada Tuhan kami dan memuji-Nya) Baginda kekal menyebut doa tersebut hingga kami sampai ke Kota Madinah.”

Riwayat Muslim (1345)

Justeru kami katakan islam mengajarkan kita adab dan tatacara dalam setiap aspek kehidupan termasuklah adab ketika ingin melakukan permusafiran iaitu dengan berdoa kepada Allah SWT memohon perlindungan daripada-Nya. Oleh itu, sewajarnya bagi kita sebagai seorang muslim memohon perlindungan daripada Allah SWT dari segala bahaya yang menimpa sebelum memulakan permusafiran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua’lam