#4821: Perempuan Menghidap Penyakit Sawan Memperolehi Syurga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar kisah, ada seorang perempuan yang memohon kepada Rasulullah SAW doa kesihatan baginya agar disembuhkan penyakitnya iaitu sawan. Nabi beri pilihan kepadanya kalau sabar dengan syurga. Benarkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ya, benar. Kisah tersebut thabit dalam Sahih al-Bukhari.

‘Ata’ bin Abu Rabah berkata:

قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ، أَخْبَرَنَا مَخْلَدٌ، عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ، أَخْبَرَنِي عَطَاءٌ: «أَنَّهُ رَأَى أُمَّ زُفَرَ تِلْكَ امْرَأَةً طَوِيلَةً سَوْدَاءَ، عَلَى سِتْرِ الكَعْبَةِ»

Maksudnya: Ibn Abbas berkata kepadaku: “Mahukah engkau aku tunjukkan seorang perempuan penghuni syurga?” Aku berkata: “Baiklah.” Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Dia adalah perempuan berkulit gelap ini yang datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Aku biasa sakit sawan dan kadang-kadang auratku terbuka. Doakanlah kepada Allah SWT untukku.” Baginda SAW bersabda: “Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga; dan jika engkau mahu, aku mendoakan kepada Allah SWT agar Dia menyembuhkanmu.” Dia berkata: “Aku (memilih) bersabar.” Dia lalu berkata: “Sesungguhnya auratku terbuka (ketika serangan sawan), doakan kepada Allah SWT untukku agar auratku tidak terbuka (ketika itu).” Maka Baginda SAW mendoakan untuknya.” Muhammad menceritakan kepada kami, Makhlad mengkhabarkan kepada kami, daripada Ibn Juraij, ‘Ata’ mengkhabarkan kepadaku, sesungguhnya dia melihat Umm Zufar seorang perempuan tinggi lagi hitam itu (berada) di kain penutup Ka‘bah.

Riwayat al-Bukhari (5652)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”