#4827: Ikhlas dan Istiqamah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kepentingan ikhlas dan istiqamah dalam pengamalan syariat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sifat atau niat yang ikhlas kepada Allah SWT adalah amat penting dalam setiap perbuatan dan tingkah laku kita. Ikhlas dari sudut bahasa adalah menyucikan sesuatu. Manakala menurut istilah pula adalah menyucikan amalan dengan niat yang betul iaitu kerana Allah SWT serta menghalang atau menjauhkan amalan tersebut daripada sifat menyekutukan Allah SWT (syirik). Disebabkan itu, Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an bagi menjelaskan akan kepentingan ikhlas ini. Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”.

(Surah al-Bayyinah: 5)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” (Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”.) [Surah al-Zumar: 11].  Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/144)

Istiqamah pula bererti teguh di atas jalan yang lurus.  Jalan yang lurus hanyalah Islam. Akidah dan syariahnya. Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredhai Allah SWT. Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian. Perjuangan dalam hidup manusia amat luas dan berbeza-beza. Perjuangan yang suci diredhai Allah SWT tidak terlepas daripada cabaran terutama perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan masyarakat. Allah SWT berfirman:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka hendaklah kamu mengikutinya dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana perbuatan itu akan menjauhkan kamu dari jalan Allah. Demikianlah apa yang diperintah Allah kepada kamu, supaya kamu bertakwa kepada-Nya.”

(Surah al-An‘am: 153)

Oleh itu, istiqamah hanya boleh wujud dengan mengikuti Islam, meyakini akidahnya serta mengamalkan syariah-Nya serta mengikut manhaj dan sistemnya. Ayat ini sekaligus memperingatkan manusia agar jangan sampai mengikuti agama selain daripada agama Islam sama ada agama Yahudi, Nasrani, Majusi ataupun ideologi yang timbul kebelakangan ini seperti kapitalisme, sosiolisme, sekularisme, liberalisme, nasionalisme dan lain-lain lagi. Ini kerana semua agama, ideologi, ajaran dan fahaman selain Islam adalah menyesatkan serta pasti menimbulkan kerosakan dan kemurkaan Allah SWT. Apa yang terjadi dan dialami oleh umat manusia pada hari ini merupakan bukti akan hal itu.

Justeru, istiqamah menuntut keteguhan dan kelurusan dalam keimanan, menjalankan berbagai ketaatan serta menjauhi berbagai kemaksiatan dan fitnah yang sentiasa muncul pada zaman kini. Istiqamah juga menuntut manusia selalu teguh dan tiada henti dalam mendakwahkan akidah dan syariah Islam. Itulah istiqamah yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Islam sangat menekankan aspek keikhlasan dan istiqamah dalam kepercayaan dan pengamalan syariatnya. Ini jelas dapat difahami menerusi beberapa gesaan di dalam  al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan kebenaran, lalu akan turun kepada mereka para malaikat pada saat kematian mereka dengan berkata, “Janganlah kamu takut dan sedih. Bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu”.

(Surah Fussilat: 30)

Namun di antara senario yang dapat dilihat berlaku pada masa kini adalah kelompok masyarakat Muslim yang kehidupannya jauh daripada tuntutan akidah dan hukum syariat Islam, bahkan dalam keadaan tertentu mereka bersikap sangat skeptikal terhadap hukum Islam. Mereka hanya beria-ria kembali merujuk kepada syariat Islam apabila keuntungan hanya berpihak kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/357-358)

Di antara contoh yang berlaku berkaitan senario ini adalah isu pembahagian harta seperti faraid apabila ramai di kalangan umat Islam yang sering mengejar tuntutan harta yang ditinggalkan oleh ahli keluarga yang meninggal dunia, tetapi mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga dan waris yang sepatutnya menjadi tanggungan mereka. Sikap sebegini telah dijelaskan Allah SWT:

وَإِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌۭ مِّنْهُم مُّعْرِضُونَ ٤٨ وَإِن يَكُن لَّهُمُ ٱلْحَقُّ يَأْتُوٓا۟ إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ

Maksudnya: “Dan apabila mereka diseru dengan penghakiman yang ditentukan oleh Allah dan rasul-Nya terhadap permasalahan mereka, tiba-tiba segolongan daripada mereka berpaling enggan menyahut seruan tersebut. Tetapi jika keputusan itu berpihak kepada mereka, mereka akan datang kepada rasul dengan patuh.”

(Surah al-Nur: 48-49)

Kesimpulan

Keikhlasan ialah kunci penerimaan sesuatu ibadah dan amalan di sisi Allah SWT. Oleh itu, ikhlaskan hati dalam beramal supaya amalan kita diterima Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”