#4828: Tafsir Ayat 29 Surah al-Fath

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tafsiran ayat 29 daripada Surah al-Fath?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad ialah Rasulullah dan orang yang bersama-sama dengannya bersikap tegas terhadap orang kafir yang memusuhi Islam, tetapi sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama umat Islam. Engkau melihat mereka sentiasa rukuk dan sujud, dengan mengharapkan kurniaan pahala dan keredhaan daripada Tuhan mereka. Tanda-tanda kesolehan jelas kelihatan pada wajah mereka, kesan daripada sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut dalam Kitab Taurat, dan sifat mereka dalam Kitab Injil pula ialah mereka diibaratkan seperti pokok yang mengeluarkan tunas, lalu tunas itu membesar sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas pangkal batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang yang menanamnya; kerana Allah hendak menimbulkan kemarahan orang kafir dengan kekuatan umat Islam itu. Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh antara mereka, keampunan dan pahala yang besar.”

(Surah al-Fath: 29)

Di dalam ayat terakhir Surah al-Fath ini, Allah SWT memuliakan kedudukan Rasullulah SAW dan juga memuji para sahabat R.Anhum yang bersama Baginda serta memuji sifat-sifat mereka. Di dalam ayat ini, Allah SWT memuliakan Baginda SAW dengan penegasan bahawa Baginda adalah Rasul yang diutuskan oleh-Nya tanpa sebarang syak dan ragu-ragu. Penegasan ini bagi menyangkal perbuatan utusan musyrikin Makkah yang enggan mengiktiraf kerasulan Baginda SAW ketika mereka meminta supaya dipadam kalimah “Rasulullah” ketika ingin memeterai Perjanjian Hudaibiyah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Manakala dalam memuji sifat para sahabat R.Anhum, menurut al-Zuhaili di dalam ayat ini, Allah SWT menyifatkan mereka ini dengan lapan perkara iaitu:

  • Bersikap keras dan tegas dalam berinteraksi terhadap orang kafir yang memusuhi Islam. Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat (وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ).
  • Bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama umat Islam. Ia sebagaimana yang dinyatakan ayat (رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْ).
  • Banyak mengerjakan amal soleh dan menunaikan sembahyang yang merupakan sebaik-baik amal soleh sebagaimana firman Allah SWT: (تَرَىٰهُمْ رُكَّعًۭا سُجَّدًا).
  • Ikhlas dalam mengerjakan ibadah dan sentiasa mengharap pahala dan keredhaan Allah SWT. Ia sebagaimana dijelaskan di dalam ayat (يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًۭا).
  • Allah memuliakan mereka dengan tanda cahaya kebaikan dan ketenangan yang terpancar pada wajah mereka di dunia dan akhirat. Sifat ini dijelaskan melalui ayat (سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ ٱلسُّجُودِ ).
  • Sifat mereka ini telah disebut di dalam Kitab Taurat, Injil dan al-Quran sebagaimana dinyatakan di dalam ayat (ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِى ٱلْإِنجِيلِ).
  • Banyak menyumbang kebaikan dan manfaat kepada perkembangan dakwah Islam. Walaupun pada awalnya bilangan sahabat Nabi Muhammad SAW sedikit, namun ia berkembang pesat menjadikan mereka golongan yang kuat dan dominan. Bilangan serta kekuatan sahabat ini menjadikan golongan kafir merana dengan perasaan marah dan juga hasad dengki. Sifat ini difahami melalui ayat: (كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْـَٔهُۥ فَـَٔازَرَهُۥ فَٱسْتَغْلَظَ فَٱسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ يُعْجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ ٱلْكُفَّارَ ).
  • Allah telah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan mereka keampunan dan pahala yang besar iaitu syurga. Sifat terakhir ini dijelaskan melalui ayat: (وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًۢا).

Ayat terakhir ini merakamkan kedudukan istimewa para sahabat Rasul SAW di sisi Allah SWT kerana keimanan, keikhlasan, ketakwaan, ketinggian akhlak dan sumbangan besar mereka terhadap dakwah Rasulullah SAW. Mereka merupakan sebaik-baik umat Nabi SAW sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Baginda SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3651)

Hadith ini menunjukkan zaman yang terbaik adalah zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabatnya, kemudian zaman tabiin, dan seterusnya zaman tabi’ tabiin. Ia dikenali sebagai al-qurun al-mufaddhalah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/371)

Syeikh al-Syanqiti menyebut: Mereka yang digelar sebagai al-Awwalin adalah golongan sahabat Nabi SAW. Ini seperti yang disebut di dalam hadis Nabi SAW (خَيْرُ الْقُرُونِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ) yang bermaksud “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun-kurun yang berikutnya”. (Lihat  Adwa’ al-Bayan, 7/515)

Kesimpulan

Para sahabat merupakan sebaik-baik contoh teladan yang harus diikuti selepas teladan Rasulullah SAW. Ini kerana mereka merupakan sebaik-baik generasi yang lahir daripada didikan Baginda SAW. Oleh itu, contohilah sifat dan sikap mereka dalamhidup seharian.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”