#4835: Konsep Mukjizat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah konsep mukjizat bersesuaian dengan masyarakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَلْقِ عَصَاكَ ۚ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يَا مُوسَىٰ لَا تَخَفْ إِنِّي لَا يَخَافُ لَدَيَّ الْمُرْسَلُونَ (10) إِلَّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًا بَعْدَ سُوءٍ فَإِنِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ (11) وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ ۖ فِي تِسْعِ آيَاتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ (12) فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ آيَاتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ (13) وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: ““Lemparkanlah tongkatmu!”. Maka apabila Musa melihat tongkatnya bergerak seperti seekor ular, Baginda terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Allah berfirman, “Wahai Musa! Janganlah engkau takut, sesungguhnya para rasul utusan-Ku tidak seharusnya takut di sisi-Ku.” “Kecuali mereka yang berlaku zalim, maka dia perlu takut. Tetapi, setelah dia bertaubat dan mengubah kejahatan kepada kebaikan, maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” “Dan masukkanlah tanganmu ke dalam bajumu, nescaya keluar darinya cahaya putih yang terang benderang tanpa sebarang cacat cela; sebagai salah satu daripada sembilan mukjizat untuk berhadapan dengan Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu kaum yang fasiq.” Maka, tatkala datang bukti mukjizat Kami dengan begitu jelas, mereka berkata, “Ini tidak lain tidak bukan hanyalah perbuatan sihir yang amat nyata.”Mereka telah mengingkarinya dengan penuh kezaliman dan kesombongan, padahal hati mereka menyakini kebenarannya. Maka, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kerosakan.”

(Surah al-Naml: 10-14)

Ungkapan (وَأَلْقِ عَصَاكَ) dan (وَأَدْخِلْ يَدَكَ) merupakan perintah kepada Nabi Musa A.S untuk memperlihatkan dua mukjizat yang diberikan kepadanya iaitu tongkat bertukar seperti ular dan tangan yang bercahaya. Ia seolah-olah suatu latihan kepada Nabi Musa A.S untuk membiasakan diri dengan kedua-dua mukjizat tersebut sebelum mempergunakannya di hadapan Firaun. (Lihat  al-Muharrar al-Wajiz, 4/250)

Kami terangkan terlebih dahulu maksud mukjizat.

Mukjizat ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah hanya untuk para utusan-Nya sahaja agar dapat dijadikan bukti kerasulan mereka. Hanya dengan mukjizat inilah para nabi ini membuktikan kerasulannya di hadapan kaumnya.

Biasanya mukjizat itu berupa kejadian luar biasa yang tidak dapat dilakukan oleh orang biasa selain rasul. Umpamanya Nabi Musa AS dapat membelah laut menjadi daratan hanya dengan tongkat mukjizatnya. Nabi Sulaiman AS diberikan kepandaian memahami bahasa binatang dan dapat menundukkan seluruh bangsa jin.

Keunggulan seperti ini belum pernah ada manusia yang dapat menandinginya.

Antara syarat-syarat mukjizat:

Imam al-Haramain al-Juwaini menyatakan bahawa dinamakan dalil-dalil kebenaran para nabi dengan mukjizat-mukjizat secara meluas dan secara harus.

Sesungguhnya al-Mu’jiz ialah pencipta kelemahan, khaliq al-‘ajz dan dinamakan demikian kerana dia menzahirkan dengan mukjizat itu kelemahan orang yang bukan nabi mengadakan atau mendatangkan dengan apa yang zahirkan kepada nabi.

  • Mukjizat ialah perbuatan Allah atau pada makna perbuatan dan mukjizat bukan satu sifat qadim daripada sifat-sifat Allah SWT. Mukjizat dikhususkan kepada orang yang mendakwa dan mengaku sebagai nabi.
  • Mukjizat adalah luar biasa.
  • Lemah makhluk untuk menentang dan mengadakan yang seumpamadengan mukjizat.
  • Mukjizat dizahirkan kepada pendakwa kenabian dan mencabar makhluk dengan mukjizatnya untuk membuktikan kebenaran kenabiannya.
  • Mukjizat tidak membohongi dakwaan pendakwa kenabian.

Konsep Mukjizat yang Bersesuaian dengan Penerimaan Masyarakat

Antara hikmah Allah SWT mengurniakan Nabi Musa A.S dengan mukjizat-mukjizat yang luar biasa adalah disebabkan Baginda diutuskan pada zaman dan masyarakat yang terkenal dengan pengamalan sihir secara berleluasa. Malah Firaun sendiri adalah penaja kepada ahli-ahli sihir yang hebat. Ketika Nabi Musa A.S memperlihatkan mukjizatnya, Firaun dengan segera telah mengarahkan beberapa ahli sihir untuk mengalahkan Nabi Musa A.S seperti yang dinyatakan dalam ayat 107-122 Surah al-A‘raf, ayat 75-81 Surah Yunus, 56-73 Surah Taha dan ayat 30-51 Surah al-Syu‘ara’. Walau bagaimanapun, usahanya itu tidak berjaya dan ahli-ahli sihir yang melihat mukjizat Nabi Musa A.S akhirnya beriman kepadanya.

Demikianlah, setiap rasul akan dibekalkan dengan senjata yang sesuai dengan zamannya. Oleh sebab akal dan ilmu pengetahuan merupakan perkara terulung zaman ini, tidak hairanlah Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kekal sehingga hari kiamat. Penerokaan ilmuan Islam terhadap khazanah ilmu al-Quran membawa kepada penyepaduan atau integrasi naqli dan aqli. Ia membawa perbahasan ilmu al-Quran kepada dimensi yang baru dan lebih menyeluruh serta melibatkan lebih ramai pakar daripada disiplin yang berbeza.

Mutakhir ini timbul pelbagai kajian yang diistilahkan sebagai i‘jaz al-‘ilmi dan pelbagai institusi ditubuhkan bagi menjayakannya seperti al-Hai‘at al-‘Alamiyah li al-I‘jaz al-Ilmi yang bernaung di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami. Cabang ilmu ini menfokuskan pembuktian kebenaran kandungan al-Quran menerusi penemuan dalam ilmu sains dengan meneliti isyarat-isyarat  terhadap fakta-fakta yang tidak  diketahui  pada  zaman  Nabi  Muhammad SAW, sebaliknya rahsia  itu  tersingkap  ekoran  kemajuan  ilmu  pengetahuan  pada  zaman  seterusnya.

Ilmu ini menerima kritikan kerana seolah-oleh memaksa al-Quran untuk bersetuju dengan suatu penemuan saintifik yang menerima kemungkinan berubah apabila diatasi oleh penemuan saintifik yang lain. Ini membawa kepada bahaya menafsirkan al-Quran yang merupakan Kalam Allah yang azali dengan suatu yang bersifat baharu dan kemakhlukan. Namun bahaya ini  akan dapat dielak sekiranya penafsiran gaya saintifik ini hanya dijadikan sebagai cabang, bukan pada usul, pada menerangkan asas-asas Islam yang sekian terbina dengan ayat-ayat muhkamat.

Justeru, apabila penafsiran i‘jaz al-‘ilmi diletakkan pada neraca yang sepatutnya dalam neraca ilmu, kritikan yang dibuat oleh orang terhadap penemuannya adalah kritikan kepada fiqhnya sahaja dan bukan kritikan kepada al-Quran. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjaga keaslian mesej al-Quran itu sendiri dan menunjukkan kebenaran al-Quran sebagai wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT dan panduan buat umat sepanjang zaman. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/12-13)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”