#4838: Musafir Termasuk dalam Sebahagian daripada Azab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah musafir termasuk daripada sebahagian azab dan mengapakah ia dikatakan begitu. Boleh terangkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, musafir ialah orang yang masih dalam perjalanan, orang yang berpergian, pengembara.[1] Dalam bahasa mudahnya, musafir bererti seorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua marhalah atau jarak perjalanan lebih kurang 81 km.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, musafir termasuk daripada sebahagian azab. Ini kerana ia menghalang tidur, makan dan minum seseorang itu.

Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ، فَإِذَا قَضَى أَحَدُكُمْ نَهْمَتَهُ، فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Perjalanan adalah sebahagian daripada bentuk  azab. Ia menghalang tidur, makan dan minum seseorang daripada kamu. Apabila salah seorang di antara kamu telah menyelesaikan urusannya (kepentingannya) maka hendaklah bersegera cepat-cepat kembali kepada keluarganya.

Riwayat al-Bukhari (3001; 1804) dan Muslim (1927)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, maksudnya adalah dianjurkan (sunat) untuk segera kembali kepada keluarganya selepas menyelesaikan semua kesibukannya (tugasan atau pekerjaan) dan tidak menunda atau melewat-lewatkannya (kepulangan tersebut) dengan sesuatu yang tidak penting — yakni sesuatu yang bukan tujuan permusafiran tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/70)

Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada makruhnya meninggalkan ahli keluarga tanpa sebarang keperluan dan digalakkan (sunat) untuk segera pulang (selepas selesai urusan/tugasan), lebih-lebih lagi jika dikhuatiri sepanjang peninggalannya itu akan menyia-nyiakan ahli keluarganya. Tambahan lagi, segera pulang dan tinggal bersama ahli keluarga akan memberikan rasa tenang atau kelapangan yang dapat mengekalkan kemaslahatan agama dan dunia. (Lihat Fath al-Bari, 3/623).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=musafir. Diakses pada 1 Disember 2023.