#4839: Pembinaan Haikal Sulaiman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah pembinaan haikal Sulaiman tiada sandaran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَن يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ (38) قَالَ عِفْرِيتٌ مِّنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن تَقُومَ مِن مَّقَامِكَ ۖ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ (39) قَالَ الَّذِي عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ (40) قَالَ نَكِّرُوا لَهَا عَرْشَهَا نَنظُرْ أَتَهْتَدِي أَمْ تَكُونُ مِنَ الَّذِينَ لَا يَهْتَدُونَ (41) فَلَمَّا جَاءَتْ قِيلَ أَهَٰكَذَا عَرْشُكِ ۖ قَالَتْ كَأَنَّهُ هُوَ ۚ وَأُوتِينَا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهَا وَكُنَّا مُسْلِمِينَ (42) وَصَدَّهَا مَا كَانَت تَّعْبُدُ مِن دُونِ اللَّهِ ۖ إِنَّهَا كَانَتْ مِن قَوْمٍ كَافِرِينَ (43) قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الصَّرْحَ ۖ فَلَمَّا رَأَتْهُ حَسِبَتْهُ لُجَّةً وَكَشَفَتْ عَن سَاقَيْهَا ۚ قَالَ إِنَّهُ صَرْحٌ مُّمَرَّدٌ مِّن قَوَارِيرَ ۗ قَالَتْ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَانَ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Nabi Sulaiman berkata, “Wahai para pembesar sekalian, siapakah antara kamu yang mampu membawa singgahsananya sebelum mereka sampai kepadaku menyerah diri kepada Allah?” Lalu berkata Ifrit daripada golongan jin, “Aku mampu membawa singgahsananya sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu ini, sungguh, aku gagah perkasa untuk membawanya lagi amanah.” Berkata pula seorang manusia yang mempunyai ilmu daripada al-Kitab, “Aku boleh membawa singgahsananya kepadamu dalam sekelip mata sahaja.” Maka Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu berada di hadapannya, lalu berkata, “Inilah kelebihan yang dikurniakan Tuhanku kepadaku, untuk menguji sama ada aku bersyukur ataupun kufur. Barang siapa yang bersyukur sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang kufur, sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” Nabi Sulaiman berkata, “Sila ubah suai sedikit bentuk singgahsananya, kita perhatikan sama ada dia sedar itu singgahsananya ataupun beliau termasuk dalam kalangan orang yang tidak menyedarinya.” Tatkala raja itu sampai, dia ditanya, “Beginikah singgahsana Tuanku?” Dia berkata, “Ya, seakan-akan itulah ia”. Nabi Sulaiman berkata, “Kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum ini dan kami benar-benar telah menyerah diri kepada Allah.” “Apa yang menghalangnya daripada beriman kepada Allah sebelum ini, ialah amalannya yang menyembah tuhan selain Allah. Sesungguhnya raja wanita ini dahulunya dalam kalangan orang yang kafir.” Lalu dikatakan kepadanya, “Dipersilakan masuk ke dalam istana.” Tatkala dia melihat lantai istana itu, disangkanya kolam air, lalu dia menyelak kainnya sehingga tersingkap betisnya. Lantas Nabi Sulaiman berkata, “Sesungguhnya lantai istana ini diperbuat daripada kaca.” Maka Ratu Balqis berkata, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri selama ini, sekarang aku menyerahkan diri bersama Nabi Sulaiman kepada Allah Tuhan sekalian alam.”

(Surah al-Naml: 38-44)

Peranan manusia dan jin dalam kerajaan Nabi Sulaiman A.S juga diberikan perhatian untuk menunjukkan kemajuan kerajaan yang berasaskan tauhid. Pendapat yang paling masyhur, lelaki yang disifatkan sebagai memiliki ilmu daripada kitab (hikmah) adalah salah seorang daripada penolong kanan Nabi Sulaiman A.S atau dalam pada hari ini disebut sebagai menteri. Walau bagaimanapun sebahagian ahli tafsir mengatakan lelaki tersebut adalah Nabi Sulaiman A.S sendiri dan ucapannya itu adalah ditujukan kepada jin Ifrit dengan tujuan untuk merendahkan kemampuannya.

Ratu negeri Saba’ menjawab soalan yang diajukan oleh Nabi Sulaiman A.S dengan pintar dan bijaksana. Beliau faham tujuan Nabi Sulaiman A.S adalah untuk memperlihatkan bukti kerasulannya melalui mukjizat. Beliau menyatakan sebenarnya dirinya bersama kaumnya telah lama mengetahui kebenaran Nabi Sulaiman A.S melalui beberapa tanda seperti perutusan burung Hudhud, surat Nabi Sulaiman A.S dan reaksi Baginda terhadap hadiah yang dipersembahkan. Justeru, mereka telah pun beriman kepada Nabi Sulaiman A.S sebelum datang mengadapnya. Hujung ayat 42 merupakan sebahagian daripada ucapan ratu negeri Saba’, menurut sebahagian ahli tafsir. Sebahagian ahli tafsir berpendapat penghujung ayat 42 adalah sebahagian daripada ucapan Nabi Sulaiman A.S.

Antara faktor yang menyebabkan ratu negeri Saba’ tidak beriman kepada Allah SWT sebelum sampai kepadanya dakwah Nabi Sulaiman A.S. walaupun memiliki kepintaran akal, ialah beliau membesar dalam suasana dan masyarakat yang menyekutukan Allah SWT. Ayat terakhir menceritakan bagaimana ratu negeri Saba’ akhirnya menyatakan keislamannya di hadapan Nabi Sulaiman A.S setelah terpersona dengan kehebatan kerajaan yang tidak mungkin diberikan kepada manusia biasa melainkan kepada rasul yang terpilih daripada Tuhan sekalian. Beliau menyedari kesilapan melakukan syirik dan mengisytiharkan diri termasuk dalam kalangan orang-orang yang berserah diri kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/22-23)

Pembinaan Haikal Sulaiman: Cita-Cita Yang Tiada Sandaran

Surah al-Naml antara yang menceritakan kisah Nabi Sulaiman A.S secara terperinci. Namun, dalam penceritaan kisah Nabi Sulaiman AS, tiada satu ayat pun dalam al-Quran yang menyatakan tentang pembinaan Haikal Sulaiman sepertimana yang didakwa oleh penganut Yahudi. Jika benar ia wujud dan penting seperti yang digambarkan oleh mereka, nescaya al-Quran tidak akan mengabaikannya sebagaimana kebiasaannya.

Kisah istana kaca, Ratu Saba’, perkampungan semut, penerokaan Hudhud, Ifrit dan hamba Allah yang memiliki ilmu daripada kitab-kitab terdahulu tidaklah sepenting Haikal Sulaiman yang menjadi sebahagian daripada kepercayaan penganut Yahudi.

Naratif yang disebarkan oleh Yahudi adalah al-Aqsa merupakan tapak bagi tempat ibadat mereka dengan mendakwa wujudnya ‘Haikal Sulaiman’ yang dibina oleh Nabi Sulaiman A.S Dikatakan ia masih tertimbus di bawah kompleks Al-Aqsa sekarang. Mereka mendakwa tempat ini adalah khusus untuk penganut agama Yahudi dan Umat Islam tidak ada hak ke atasnya kerana mereka bukan pewaris nabi Bani Israel. Maka Yahudi memiliki perkaitan sejarah dan hak pemilikan ke atas tempat ini melebihi dari Umat Islam. Mereka merasa bangga dengan pemerintahan Nabi Sulaiman A.S di Palestin dan menganggapnya sebagai ‘pemerintahan Yahudi’. Mereka juga mencanang diri mereka sebagai pewaris bagi pemerintahan ini dan negara haram Israel adalah penerusan kepada legasi Nabi Dawud & Nabi Sulaiman A.S. Maka mereka ingin membina semula ‘Haikal Sulaiman’ yang didakwa wujud itu di Al-Aqsa melalui penubuhan negara haram Israel dan dengan menjadikan pembinaan haikal ini ini sebagai tujuan utama mereka. Setiap hari mereka menceroboh ke Al-Aqsa untuk meninjau tapak haikal ini.

Dalam menjawab persoalan di atas, adalah mustahil sesuatu yang penting seperti itu tidak dinyatakan dalam al-Quran melainkan jika ia sememangnya tidak wujud dan hanya sekadar rekaan yang ditokok tambah.

Tambahan pula, pengagungan Haikal dikatakan berasal daripada kepercayaan keberhalaan kaum Kan‘an yang menganggap tuhan itu berasal dari langit dan dia memerlukan sebuah rumah yang besar apabila turun ke bumi yang kemudian dinamakan sebagai haikal (iaitu rumah tuhan atau rumah besar). Kajian yang dilakukan oleh ahli arkeologi selama lebih tiga puluh tahun menunjukkan tiada sebarang bukti berkenaan Haikal Sulaiman di bawah tapak Masjid al-Aqsa seperti yang didakwa oleh kaum Yahudi. Percanggahan teks Taurah berkenaannya juga menunjukkan ia adalah rekaan yang diada-adakan dengan tujuan tertentu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/23-24)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”