#4843: Rasulullah SAW Tidak Pernah Kenyang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW tidak pernah kenyang dengan roti barli?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith:

نَحْنُ قَومٌ لاَ نَأْكُلُ حَتّى نَجُوعَ وَإِذَا أَكَلْنَا لاَ نَشْبَعُ

Maksudnya: “Kami (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.”

Hadith ini dha’if, akan tetapi maknanya adalah benar. Syeikh Abd al-Aziz bin Baz berkata: “Maknanya benar, namun sanadnya dha’if. Sila rujuk kepada kitab Zad al-Ma’ad dan al-Bidayah wa al-Nihayah. Bermanfaat bagi seseorang untuk makan ketika sudah lapar atau sedang memerlukan. Dan ketika makan, tidak boleh berlebihan sehingga kekenyangan. Adapun kekenyangan yang tidak membahayakan, maka tidak mengapa.”

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya. Antara dalilnya:

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau melewati satu kaum yang di hadapan mereka ada kambing panggang. Mereka menjemputnya makan, namun beliau enggan dan berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الدُّنْيَا وَلَمْ يَشْبَعْ مِنْ خُبْزِ الشَّعِيرِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW meninggal dunia tanpa pernah kenyang dengan roti yang diperbuat daripada barli.”

Riwayat al-Bukhari (5414)

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ، مِنْ طَعَامِ البُرِّ ثَلاَثَ لَيَالٍ تِبَاعًا، حَتَّى قُبِضَ.

Maksudnya: “Sejak datang ke Madinah, keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang memakan makanan (yang dibuat daripada) gandum untuk tempoh tiga hari berturut-turut sehinggalah Baginda SAW diambil (nyawanya).”

Riwayat al-Bukhari (5416)

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik dan amat zuhud dalam kehidupannya di dunia, sedangkan jika Baginda mahu, Baginda boleh menjadi raja yang kaya raya. Tetapi Baginda SAW memilih untuk menjadi seorang Nabi dan hamba Allah, sehari kenyang dan sehari lapar. Ini merupakan pengajaran terbesar kepada umat dan pengikutnya. Firman Allah SWT:

 ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ

Maksudnya: Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

(Surah al-Takathur: 8)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”