Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibolehkan sembelihan menggunakan kuku atau tulang yang ditajamkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebelum menjawab persoalan di atas, kami mulakan syarat-syarat sembelihan.
Untuk menjadikan haiwan itu halal untuk dimakan, maka Allah SWT memerintahkan supaya ianya disembelih. Para ulama menggariskan panduan untuk penyembelihan binatang dan meletakkan syarat-syarat ke atasnya iaitu:
- Penyembelih itu mestilah sama ada lelaki, perempuan, baligh atau mumaiyyiz dan ini merupakan pendapat jumhur.
- Penyembelih itu mestilah orang Islam atau Ahli Kitab. Begitu juga tidak sah sembelihan orang yang murtad. Ini kerana sembelihan mereka itu bukanlah bertujuan kerana Allah SWT. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 seperti yang di atas. Dan ulama meletakkan syarat ke atas Ahli kitab di antaranya mestilah beriman dan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih.
- Binatang buruan yang halal dan bukan daripada jenis binatang buas dan ganas ini seperti firman Allah SWT:
أُحِل لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.”
(Surah al-Maidah: 96)
Dan selain daripada kategori binatang buas diharuskan untuk sembelih dan memakannya. Begitu juga binatang buas tidak termasuk binatang ternakan dan binatang korban.
- Disyaratkan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih sama ada dari kalangan orang Islam atau ahli kitab. Sekiranya ia terlupa atau bisu dibolehkan untuk memakannya. Ini seperti firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).”
(Surah al-An’am: 121)
- Tidak mencampur adukkan di antara membesarkan nama Allah SWT dengan selainnya. Sama ada dengan menyebut secara jelas ataupun tidak.
- Mestilah dengan memutuskan Halkum dan urat Marih untuk mempercepatkan kematiannya.
- Selain itu, syarat peralatan sembelihan ialah dengan menggunakan peralatan yang tajam dan bukan diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 21/184)
Berdasarkan kepada syarat di atas, alat sembelihan mestilah daripada pisau atau benda-benda yang tajam seperti batu. Tetapi, telah dikecualikan oleh hadith Nabi SAW seperti riwayat daripada daripada Rafi‘ bin Khadij, katanya: Nabi SAW bersabda:
كُلْ يَعْنِي مَا أَنْهَرَ الدَّمَ إِلَّا السِّنَّ وَالظُّفُرَ.
Maksudnya: “Makanlah yakni apa yang mengalirkan darah kecuali gigi dan kuku.”
Riwayat al-Bukhari (5506)
Boleh jadi, antara hikmah agar tidak menampakkan sifat kebinatangan sepertimana binatang buas menerkam musuhnya, begitu juga kita dengan menggigit atau menggunakan kuku yang kedua-duanya tidak dibenarkan kepada kita memakan haiwan yang menerkam dan menyambar, atau bertaring dan berparuh seperti harimau, serigala, gelang, siwah dan sebagainya.
Keduanya, sifat ihsan akan terhilang dengan cara seperti itu dan menafikan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:
إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirahatkan sembelihannya.”
Riwayat Muslim (1955)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”