#4850: Sembelih Haiwan Sampai Putus Kepala

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh atau tidak sembelih sampai putus kepala?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, dua perkataan perlu diketahui, iaitu: Al-Nahar (النحر) dan juga al-Zabah (الذبح).

Kami kemukakan apa yang disebut oleh Imam al-Bukhari:

وَقَالَ ابْنُ جُرَيْجٍ، عَنْ عَطَاءٍ: لاَ ذَبْحَ وَلاَ مَنْحَرَ إِلَّا فِي المَذْبَحِ وَالمَنْحَرِ. قُلْتُ: أَيَجْزِي مَا يُذْبَحُ أَنْ أَنْحَرَهُ؟ قَالَ: نَعَمْ، ذَكَرَ اللَّهُ ذَبْحَ البَقَرَةِ، فَإِنْ ذَبَحْتَ شَيْئًا يُنْحَرُ جَازَ، وَالنَّحْرُ أَحَبُّ إِلَيَّ. وَالذَّبْحُ قَطْعُ الأَوْدَاجِ. قُلْتُ: فَيُخَلِّفُ الأَوْدَاجَ حَتَّى يَقْطَعَ النِّخَاعَ؟ قَالَ: لاَ إِخَالُ. وَأَخْبَرَنِي نَافِعٌ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ نَهَى عَنِ النَّخْعِ، يَقُولُ: يَقْطَعُ مَا دُونَ العَظْمِ، ثُمَّ يَدَعُ حَتَّى تَمُوتَ. وَقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى:{وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً}إِلَى قَوْلِهِ: وَقَالَ:{فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا يَفْعَلُونَ}. وَقَالَ سَعِيدٌ، عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: الذَّكَاةُ فِي الحَلْقِ وَاللَّبَّةِ. وَقَالَ ابْنُ عُمَرَ وَابْنُ عَبَّاسٍ وَأَنَسٌ: إِذَا قَطَعَ الرَّأْسَ فَلاَ بَأْسَ.

Ibn Juraij berkata daripada ‘Ata’: “Tidak ada sembelihan (yang sah) dan tidak ada nahr (yang sah) kecuali di tempat untuk menyembelih (halkum) dan tempat nahr (bahagian bawah leher).” Aku bertanya: “Adakah mencukupi bagi sesuatu yang sepatutnya disembelih tetapi aku melakukan nahr padanya?” Dia menjawab: “Ya, Allah SWT telah menyebut tentang penyembelihan lembu. Jika engkau menyembelih sesuatu yang seharusnya dilakukan nahr, maka ia adalah harus tetapi nahr lebih aku sukai. Dan (makna) menyembelih adalah memotong urat-urat yang berada di sisi leher.” Aku bertanya lagi: “Adakah boleh tidak diputuskan dua urat di bahagian tepi leher sehingga dia mematahkan tulang di bahagian belakang leher sahaja?[1]” Dia menjawab: “Aku tidak berfikir (bahawa ia diperlakukan seperti itu).” Nafi‘ mengkhabarkan kepadaku bahawa Ibn Umar melarang  daripada mematahkan tulang di bahagian belakang leher (untuk mempercepatkan mati) dan beliau berkata: “(Seseorang yang menyembelih itu) memotong apa yang sebelum tulang, kemudian dibiarkan sehingga ia mati.” Dan firman Allah ta‘ala yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina.” Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut).” (67) Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: Bahawasanya Allah berfirman: “Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya.” (68) Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya.” (69) Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya-Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu).” (70) Nabi Musa menjawab: Bahawasanya Allah berfirman: “Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya.” Mereka berkata: “Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar.” Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.” [Surah al-Baqarah: 67-71]. Sa‘id berkata daripada Ibn Abbas: “Penyembelihan dilakukan di halkum dan labbah (bahagian bawah leher unta).” Selain itu, Ibn Umar, Ibn Abbas, dan Anas juga berkata: “Jika (penyembelih) memotong kepala (sehingga putus) maka tidak mengapa.” (Lihat Sahih al-Bukhari, bab 24)

Nas ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa seperti kata para sahabat Ibn Umar, Ibn Abbas dan Anas bahawa hukumnya tidak mengapa dan sah sembelihan tersebut serta boleh dimakan haiwan tersebut. Walaupun begitu, sebaik-baiknya tanpa putus kepala sebagaimana yang telah kami terangkan dalam syarat-syarat sembelihan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

Nota kaki:

[1] Yakni untuk mempercepatkan mati.