#4852: Memotong Anggota Badan Haiwan yang Hidup

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum memotong haiwan yang masih hidup?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hukumnya haram kerana menyeksa binatang dan menyakitinya. Islam mengajar untuk berihsan kepada haiwan.

Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Zahir hadis ini menunjukkan ihsan pada semua perkara adalah dituntut. Ada pendapat menyatakan mereka yang mempunyai kuasa hendaklah berihsan. Benarlah firman Allah SWT:

 إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan (ihsan).

(Surah al-Nahl: 90)

Firman Allah SWT:

وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu berihsan, sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berbuat ihsan.

(Surah al-Baqarah: 195)

Sesiapa yang melakukan ihsan dalam kehidupan, maka dia mendapat keuntungan yang besar dan termasuk dalam golongan yang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, insya Allah. (Lihat al-Kafi, hlm. 188)

Menjawab persoalan di atas, secara khususnya kami katakan, ianya dilarang sama sekali. Hal ini berdasarkan riwayat daripada ‘Adi bin Thabit yang berkata:

سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ يَزِيدَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ نَهَى عَنِ النُّهْبَةِ وَالمُثْلَةِ.

Maksudnya: Aku mendengar Abdullah bin Yazid, daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda telah melarang daripada perbuatan merompak dan perbuatan memotong-motong anggota badan haiwan yang hidup.

Riwayat al-Bukhari (5516)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”