#4855: Memakan Binatang yang Bertaring dan Berparuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita memakan binatang yang menggunakan taring?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat larangan daripada Rasulullah SAW untuk kita makan binatang yang bertaring, yang sifatnya menerkam.

Berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Tha‘labah R.A, katanya:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ.

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW telah melarang daripada (memakan) setiap binatang buas yang bertaring.

,Riwayat al-Bukhari (5530)

Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa binatang tersebut amat berbahaya kepada manusia dan sifat membunuh dan menerkam boleh mengancam nyawa manusia. Kita selalu kedengaran, ada yang dibaham harimau seperti yang berlaku di negara kita, khususnya penduduk kampung di pinggiran hutan yang bekerja sebagai penoreh getah atau petani. Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, jelas menunjukkan haram memakan binatang tersebut, kerana kaedah Usul menyebut:

النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيمَ

Maksudnya: “Tegahan membawa kepada haram.”

Terdapat di sana banyak hikmah yang dibahaskan oleh ulama, haiwan tersebut tidak dibenarkan untuk kita memakannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”