#4856: Qadha Solat Jumaat dan Niatnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya baru berubah dari masa silam saya yang agak teruk. Sudah 2 tahun saya tidak solat dan sekarang saya sudah bertaubat. Saya ingin lebih memahami agama Islam. Persoalan saya, bagaimana niat untuk solat jumaat ya Dato’. Dan bagaimana untuk qadha’ solat Jumaat yang ditinggal itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan syabas kepada anda kerana bertaubat dan mengharapkan sebagai taubat nasuha dengan bersungguh-sungguh meninggalkan kecuaian dalam melaksanakan titah perintah Allah SWT.

Keduanya, hutang Allah SWT hendaklah dibayar sama seperti kefardhuan solat mengikut mazhab Syafi’i. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Seterusnya solat perlu diqadha’ berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).

Riwayat al-Bukhari (597)

Menjawab persoalan di atas, perkara utama adalah niat. Dia merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129)

Di sisi mazhab Syafie, disunatkan disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/340)

Begitu juga, hendaklah belajar hukum solat dengan lebih teliti dan tekun melalui guru-guru dalam bab Fiqh al-Solah.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas kami nyatakan bahawa, solat Jumaat yang saudara tinggalkan itu hendaklah diqadha’ dengan solat Zohor. Kalau setahun sebanyak 48 atau lebih sedikit berdasarkan hari, maka hendaklah diqadha’ Zohor dengan jumlah tersebut. Ini kerana solat Jumaat adalah khusus pada hari Jumaat dan dilakukan secara berjemaah dengan syarat-syarat yang tertentu seperti orang yang bermastautin atau orang bermukim di masjid dalam waktu Zohor dimulakan dengan dua khutbah, dan makmum cukup bilangan seperti yang masyhur dalam mazhab Syafi’i iaitu 40 orang lebih.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Wallahua`lam.