#4858: Tatacara Solat Gerhana Bulan dan Matahari

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Bagaimana tatacara untuk solat gerhana bulan/matahari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut al-Mu’jam al-Wasit gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuf. Dinamakan al-Kusuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya.(Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234)

Firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.”

(Surah Fussilat: 37)

Pensyariatan solat sunat gerhana berlaku pada tahun kedua selepas hijrah yang mana bertepatan ketika meninggalnya Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Ketika zaman jahiliyyah, gerhana matahari ataupun bulan dikaitkan dengan kepercayaan khurafat di mana kematian seseorang ada kaitannya dengan gerhana. Inilah yang dipercayai oleh golongan jahiliyyah di mana matinya putera Rasulullah SAW, Ibrahim adalah disebabkan oleh gerhana.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas kami kemukakan tatacara solat gerhana matahari/bulan:

Niat solat gerhana matahari:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Manakala, niat bagi solat gerhana bulan:

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Bagi Rakaat yang Pertama:

  1. Takbiratul Ihram
  2. Membaca doa Iftitah
  3. Membaca surah al-Fatihah
  4. Membaca surah al-Baqarah (atau mana-mana surah)
  5. Ruku’ dan membaca tasbih (kira-kira 100 ayat)
  6. lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  7. Membaca surah Ali-lmran (atau mana-mana surah)
  8. Ruku’ dan membaca tasbih (kira-kira 90 ayat)
  9. Iktidal
  10. Sujud dan membaca tasbih
  11. Duduk antara dua sujud
  12. Sujud kembali
  13. Berdiri untuk rakaat kedua

Bagi Rakaat yang Kedua:

  1. Membaca surah al-Fatihah
  2. Membaca surah al-Nisa’ (atau mana-mana surah)
  3. Ruku’ dan membaca tasbih (kira-kira 70 ayat)
  4. lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  5. Membaca surah al-Maidah (atau mana-mana surah)
  6. Ruku dan membaca tasbih (kira-kira 50 ayat)
  7. Iktidal
  8. Sujud dan membaca tasbih
  9. Duduk antara dua sujud
  10. Sujud kembali
  11. Membaca tasyahud akhir
  12. Memberi salam

Perlu difahami, perbezaan antara solat sunat gerhana dengan solat sunat biasa adalah solat sunat gerhana ini mempunyai 4 al-Fatihah, 4 rukuk dan 4 sujud dalam 2 rakaat. Begitu juga, disunatkan untuk membaca 2 khutbah selepas solat sunat gerhana sebagaimana dua khutbah Jumaat.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”