#4859: Izin Ibubapa untuk Jihad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Dalam Islam jika seseorang ingin berjihad adakah disyaratkan mendapat keizinan ibubapanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌۭ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ كُلُّهُۥ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ (٣٩)  وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَوْلَىٰكُمْ ۚ نِعْمَ ٱلْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ ٱلنَّصِيرُ

Maksudnya:Dan perangilah mereka sehingga tidak berlaku lagi sebarang penindasan terhadap orang yang beriman dan juga sehingga seluruh ketaatan dan ibadah adalah untuk Allah semata. Sekiranya orang kafir itu berhenti daripada kekufuran dan juga menyakiti orang beriman, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang mereka lakukan dan akan memberikan balasan selayaknya kepada mereka. Namun jika mereka berpaling dan enggan beriman, maka ketahuilah bahawa Allah itulah Pelindung kamu; Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

(Surah al-Anfal: 39-40)

Jihad adalah syariat yang tinggi dan tidak ada amalan yang mampu menandinginya, sebagaimana nas telah menyebutkannya dengan jelas. Namun, dari sudut bahasa, kata jihad dan qital ada perbezaan yang signifikan kerana makna jihad mencakupi seluruh makna bersungguh-sungguh, sedangkan qital sebagaimana disebutkan dalam Kamus al-Maurid al-Wasit, adalah bertemunya dua pasukan di medan pertempuran. Perbezaannya yang lain dalam dilihat seperti mana berikut:

  • Jihad secara umumnya mencakupi seluruh usaha menegakkan kalimah Allah, manakala Qital pula adalah sebahagian daripada usaha menegakkan kalimah Allah.
  • Jihad tidak semestinya dengan pertempuran (secara fizikal), sebaliknya Qital, intinya adalah pertempuran.

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #4276: Perbezaan Antara Jihad dan Qital.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, dalam Islam jika seseorang ingin berjihad disyaratkan untuk mendapat keizinan ibubapanya, jika kedua ibu bapanya masih lagi hidup.

Hal ini jelas sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan minta izin untuk berjihad. Baginda SAW bertanya: ‘Apakah kedua orang tuamu masih hidup?’ Lelaki itu berkata: ‘Ya.’ Baginda bersabda: ‘Hendaklah engkau berjihad (berbakti) kepada keduanya.’

Riwayat al-Bukhari (3004)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/4276-perbezaan-antara-jihad-dan-qital/. Diakses pada 1 Disember 2023.