#4860: Kelebihan Mengislamkan Seseorang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapatnya kelebihan seseorang yang mengislamkan orang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami ingin menegaskan bahawa tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Sejak awal Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam. Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikit pun paksaan. Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam. Ini sebagaimana yang disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Tabari dalam tafsir ayat ini menyebut: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsiran yang benar. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/414).

Ibn Kathir memperincikan ayat di atas di dalam tafsirnya, yakni Allah SWT berfirman janganlah kamu memaksa seorang pun untuk memeluk agama Islam, kerana ia adalah agama yang jelas dan nyata, dengan bukti-bukti dan dalil-dalil yang terang benderang.  Tidak perlu dipaksa seseorang untuk memeluknya. Sebaliknya, sesiapa yang Allah telah berikan petunjuk ke jalan Islam, telah dilapangkan dadanya, diberi cahaya penglihatannya, maka dia akan masuk dalam agama itu dengan pengetahuan yang jelas. Dan sesiapa yang Allah telah menggelapkan hatinya dan mengunci pendengarannya serta penglihatannya, maka tidak ada manfaat untuk memaksa orang tersebut memeluk agama ini dalam keadaan dipaksa dan ditekan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/521)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapatnya kelebihan seseorang yang mengislamkan orang lain.

Hal ini jelas sehinggakan Imam al-Bukhari menamakan salah satu bab dalam kitab sahihnya sebagai “بَابُ فَضْلِ مَنْ أَسْلَمَ عَلَى يَدَيْهِ رَجُلٌ” (Bab: Kelebihan Orang yang Menjadi Perantara Bagi Seseorang Masuk Islam).

Kemudian Imam al-Bukhari meletakkan di bawah bab tersebut hadith, daripada Abu Hazim, dia berkata: Sahl R.A (iaitu Ibn Sa‘d) mengkhabarkan kepadaku, beliau berkata:

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ خَيْبَرَ: لَأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا يُفْتَحُ عَلَى يَدَيْهِ، يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ، فَبَاتَ النَّاسُ لَيْلَتَهُمْ أَيُّهُمْ يُعْطَى، فَغَدَوْا كُلُّهُمْ يَرْجُوهُ، فَقَالَ: أَيْنَ عَلِيٌّ؟ فَقِيلَ يَشْتَكِي عَيْنَيْهِ، فَبَصَقَ فِي عَيْنَيْهِ وَدَعَا لَهُ، فَبَرَأَ كَأَنْ لَمْ يَكُنْ بِهِ وَجَعٌ، فَأَعْطَاهُ فَقَالَ: أُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا؟ فَقَالَ: انْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الإِسْلاَمِ، وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ، فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ

Maksudnya: “Nabi SAW bersabda pada peperangan Khaibar: ‘Sungguh esok aku akan memberikan bendera kepada seorang lelaki yang Allah akan memberi kemenangan di tangannya, dia mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.’ Malam itu manusia saling bertanya siapa di antara mereka yang akan diberikan bendera itu. Keesokan harinya, mereka semua datang mengharapkannya. Nabi SAW bertanya: ‘Di manakah Ali?’ Dikatakan, dia menderita sakit kedua matanya. Baginda meludahi kedua matanya dan mendoakannya, maka dia sembuh seakan-akan tidak pernah menderita sakit. Lalu Baginda memberikan bendera kepadanya. Beliau (Ali) bertanya: ‘Aku memerangi mereka sehingga mereka menjadi Muslim seperti kita?’ Baginda bersabda: ‘Berangkatlah dengan tenang sehingga engkau sampai ke tempat mereka. Kemudian ajaklah mereka kepada Islam dan beritahu kepada mereka apa yang wajib ke atas mereka. Demi Allah, apabila Allah memberi petunjuk  kepada seseorang  melaluimu, itu lebih baik bagimu daripada memiliki unta merah (harta yang sangat berharga).

Riwayat al-Bukhari (3009)

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Abu Mas‘ud al-Ansari R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”

Riwayat Muslim (1893)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).”

Riwayat Muslim (2674)

Hadith-hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagi mana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.

Justeru, kerja dakwah dan menyampaikannya dengan penuh hikmah merupakan perintah Nabi SAW agar kita semua diberi keberkatan dalam kehidupan dan kebahagiaan bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat. Kita akan diganjari pahala dan masyarakat menerima kebaikan dan Islam sudah pasti akan sejahtera dan baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”