#4861: Menyeksa Seseorang dengan Api

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat larangan daripada menyeksa seseorang dengan api? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapatnya larangan daripada menyeksa seseorang dengan api berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih.

Di antaranya riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْثٍ فَقَالَ: إِنْ وَجَدْتُمْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا فَأَحْرِقُوهُمَا بِالنَّارِ، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَرَدْنَا الخُرُوجَ: إِنِّي أَمَرْتُكُمْ أَنْ تُحْرِقُوا فُلاَنًا وَفُلاَنًا، وَإِنَّ النَّارَ لاَ يُعَذِّبُ بِهَا إِلَّا اللَّهُ، فَإِنْ وَجَدْتُمُوهُمَا فَاقْتُلُوهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengutuskan kepada kami dalam satu pasukan dan bersabda: ‘Jika kamu bertemu si fulan dan si fulan, maka bakarlah mereka berdua dengan api.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda ketika kami hendak berangkat: ‘Aku telah memerintahkan kalian untuk membakar si fulan dan si fulan. Akan tetapi, tiada siapa yang boleh menyeksa dengan api melainkan Allah. Oleh itu, apabila kalian bertemu mereka, maka bunuhlah mereka.’

Riwayat al-Bukhari (3016)

Begitu juga terdapat riwayat daripada ‘Ikrimah bahawa:

أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، حَرَّقَ قَوْمًا، فَبَلَغَ ابْنَ عَبَّاسٍ فَقَالَ: لَوْ كُنْتُ أَنَا لَمْ أُحَرِّقْهُمْ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَ تُعَذِّبُوا بِعَذَابِ اللَّهِ، وَلَقَتَلْتُهُمْ كَمَا قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

Maksudnya: “Ali R.A membakar satu kaum dan perkara itu sampai ke pengetahuan Ibn ‘Abbas, maka beliau berkata: ‘Sekiranya aku, aku tidak akan membakar mereka kerana Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu menyeksa dengan azab Allah. Tetapi aku akan membunuh mereka seperti sabda Nabi SAW: Sesiapa menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia.’

Riwayat al-Bukhari (3017)

Selain daripada itu, di antara sebab larangan menyeksa dan mengazab sesuatu dengan api adalah kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A katanya:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فِي سَفَرٍ فَانْطَلَقَ لِحَاجَتِهِ فَرَأَيْنَا حُمَّرَةً مَعَهَا فَرْخَانِ، فَأَخَذْنَا فَرْخَيْهَا فَجَاءَتِ الْحُمَّرَةُ فَجَعَلَتْ تَفْرُشُ، فَجَاءَ النَّبِيُّ ﷺ فَقَالَ: مَنْ فَجَعَ هَذِهِ بِوَلَدِهَا؟ رُدُّوا وَلَدَهَا إِلَيْهَا.‏ وَرَأَى قَرْيَةَ نَمْلٍ قَدْ حَرَّقْنَاهَا فَقَالَ: ‏مَنْ حَرَّقَ هَذِهِ‏‏.‏ قُلْنَا: نَحْنُ.‏ قَالَ: إِنَّهُ لاَ يَنْبَغِي أَنْ يُعَذِّبَ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ ‏

Maksudnya: “Kami pernah bersama dengan Rasulullah SAW dalam sebuah perjalanan, lalu beliau pergi untuk buang air. Kemudian kami melihat seekor burung kecil dengan dua anaknya. Lalu kami mengambil dua anaknya itu, maka datanglah burung kecil tersebut berputar-putar. Nabi SAW datang lalu bersabda: ‘Siapakah yang telah membuat burung ini risau terhadap anaknya? Kembalikan anaknya padanya.’ Beliau juga melihat sarang semut yang telah kami bakar. Beliau lalu bertanya: ‘Siapakah yang telah membakar ini?’ Kami menjawab: ‘Kami.’ Beliau bersabda: ‘Sesungguhnya tidak layak menyiksa dengan menggunakan api kecuali Tuhan pemilik api.’”

Riwayat Abu Dawud (2675)

Hadith ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُعَذِّبُوا بِعَذابِ اللهِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mengazab dengan azab seksa Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6922)

Al-Mulla Ali al-Qari menyatakan, tidak boleh mengazab sesuatu dengan api kerana ia merupakan azab yang paling dahsyat. Oleh itu, ia merupakan apa yang dijanjikan bagi orang kafir. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 6/2309)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”