#4863: Peperangan Sebagai Tipu Muslihat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah peperangan ini sebagai tipu muslihat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ ۚ

Maksudnya: “Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang.”

(Surah al-Anfal: 65)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, doronglah dan paculah mereka untuk berperang dengan apa yang boleh menguatkan keazaman mereka dan mencetuskan semangat mereka, dengan memberikan anjuran dan janji pahala jihad dan memerangi musuh, serta memberikan ancaman dan janji dosa terhadap sebaliknya, menjelaskan keutamaan sabar dan keberanian, serta apa yang dihasilkannya dalam bentuk kebaikan dunia dan akhirat, menjelaskan bahaya sifat pengecut, dan bahawa ia adalah akhlak tercela yang menodai agama dan muru’ah, dan orang beriman lebih berhak untuk berani daripada orang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/325).

Sayyid Sabiq menyebutkan bahawa peperangan itu bukanlah usul penyebaran agama Islam, akan tetapi peperangan ini hanyalah suatu pengecualian yang diberikan, dan ianya terkeluar dari kaedah asal. Kaedah asal dalam Islam adalah kesejahteraan, perdamaian dan juga perjanjian. Dan tidak dihalalkan peperangan itu melainkan pada  keadaan:

  • Mempertahankan diri, keluarga, harta, dan negara dari serangan.
  • Mempertahankan dakwah ke jalan Allah SWT dari orang yang menghalang jalan dakwah ini, sama ada orang itu menghalang dengan cara menyeksa mereka yang berdakwah itu, atau menyekat orang dari mendengar dakwahnya, atau dengan cara menghalang pendakwah dari menyebarkan dakwahnya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/613).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, peperangan ini dianggap sebagai tipu muslihat.

Hal ini adalah jelas berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

سَمَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الحَرْبَ خَدْعَةً

Maksudnya: “Nabi SAW menamakan peperangan sebagai (perang) tipu muslihat.

Riwayat al-Bukhari (3029)

Begitu juga riwayat daripada ‘Amr, dia mendengar Jabir bin Abdullah R.Anhuma berkata: Nabi SAW bersabda:

الحَرْبُ خَدْعَةٌ

Maksudnya: “Peperangan ialah (perang) tipu muslihat.”

Riwayat al-Bukhari (3030)

Ini menunjukkan secara umumnya bahawa tipu muslihat, helah atau atau tipudaya dalam peperangan menentang golongan kuffar adalah diharuskan, melainkan apabila ia melibatkan hukum-hakam dalam perang dan bukan melibatkan sesama Muslim. Bahkan Imam al-Nawawi menyatakan, ulama bersepakat akan keharusannya melainkan tipu daya yang boleh mengkhianati perjanjian dan jaminan keamanan. Selain itu, hadith ini memberi peringatan kepada umat Islam agar berwaspada dan berjaga-jaga dengan tipu helah pihak musuh dalam peperangan (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/45; Fath al-Bari, 6/158).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”