#4864: Sifat Dajjal Matanya Buta

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah dajjal itu buta dan ia hanya diberitahu oleh Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan dajjal terlebih dahulu. Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-‘Arab (hlm. 236-237) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu,  dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipu daya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كُفُر (kufur) atau كَافِر (kafir). (Lihat Siri 1 Kajian al-Fitan wa al-Malahim, Dajjal; Hakikat dan Tanda Akhir Zaman, hlm. 6-7)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, dajjal itu matanya buta sebelah dan ia hanya diberitahu oleh Nabi SAW.

Hal ini adalah jelas, berdasarkan kepada riwayat Ibn Umar, beliau berkata:

ثُمَّ قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّاسِ، فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، ثُمَّ ذَكَرَ الدَّجَّالَ فَقَالَ: إِنِّي أُنْذِرُكُمُوهُ وَمَا مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا قَدْ أَنْذَرَهُ قَوْمَهُ، لَقَدْ أَنْذَرَهُ نُوحٌ قَوْمَهُ، وَلَكِنْ سَأَقُولُ لَكُمْ فِيهِ قَوْلًا لَمْ يَقُلْهُ نَبِيٌّ لِقَوْمِهِ، تَعْلَمُونَ أَنَّهُ أَعْوَرُ، وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ

Maksudnya: “Kemudian Nabi SAW berdiri di kalangan orang ramai, lalu Baginda memuji Allah sebagaimana yang layak bagi-Nya. Setelah itu Baginda menyebut (mengenai) Dajjal dan bersabda: ‘Sesungguhnya aku mengingatkan kalian agar berwaspada dengannya, tidak ada seorang nabi pun melainkan dia telah mengingatkan kaumnya agar berhati-hati terhadapnya. Nuh A.S telah mengingatkan kaumnya untuk berwaspada dengannya. Akan tetapi, aku akan mengatakan tentang dia (Dajjal) satu perkataan yang belum pernah diucapkan oleh seorang nabi pun kepada kaumnya, kalian akan mengetahui sesungguhnya matanya buta sebelah, sedangkan Allah tidak buta.’

Riwayat al-Bukhari (3057)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”