#4866: Menepati Janji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Islam menyuruh kita menepati janji terutamanya dalam masa pendamaian perang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ

Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 61)

Mengambil iktibar dalam perjanjian Hudaibiyyah yang berlaku pada tahun 6 Hijrah merupakan salah satu daripada asbab tersebarnya Islam dengan lebih meluas dan kebebasan Rasulullah SAW untuk mengukuhkan lagi kota Madinah dan pasukannya sehingga membawa kepada kebaikan yang banyak. Islam bukanlah sifatnya laparkan darah, tetapi sentiasa mahu menghulurkan perdamaian sekalipun kita berada di atas asas kebenaran sedangkan mereka berada dalam kebatilan.

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Islam sangat tegas dalam menyuruh kita untuk menepati janji terutamanya dalam masa pendamaian perang.

Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat Abdullah bin Abbas bahawa Abu Sufyan bin Harb bin Umayyah mengkhabarkan kepadanya bahawa:

أَنَّ هِرَقْلَ أَرْسَلَ إِلَيْهِ فِي رَكْبٍ مِنْ قُرَيْشٍ كَانُوا تِجَارًا بِالشَّأْمِ، فِي المُدَّةِ الَّتِي مَادَّ فِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا سُفْيَانَ فِي كُفَّارِ قُرَيْشٍ

Maksudnya: “Hercules mengutuskan utusan kepadanya saat bersama rombongan daripada Quraisy. Rombongan itu adalah para pedagang di Syam pada masa Rasulullah SAW berdamai dengan Abu Sufyan yang berada di pihak (wakil) kafir Quraisy.”

Riwayat al-Bukhari (3174)

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang Mukmin seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mukmin itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mukminin: 8)

Di dalam surah lain Allah SWT berfirman:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa janji adalah kehormatan dan persetujuan, dan kontrak adalah kewajiban dan keterikatan. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafik, meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka wajib untuk menepati janji berdasarkan syara‘. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, dia telah melakukan maksiat dan dosa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/73).

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap janji-janji yang dibuat antara manusia dan kontrak-kontrak yang disepakati antara mereka akan dipersoalkan tentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/68)

Bahkan terdapat ancaman daripada Nabi SAW terhadap mereka yang memungkiri janji dengan menyifatkan mereka ini sebagai munafik. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المـنَافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”