#4867: Larangan Melintas di Hadapan Orang Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat larangan melintas di hadapan orang yang sedang solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapatnya larangan untuk melintas di hadapan orang yang sedang solat.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Sa‘id, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَرَّ بَيْنَ يَدَيْ أَحَدِكُمْ شَيْءٌ وَهُوَ يُصَلِّي فَلْيَمْنَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيَمْنَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَليُقَاتِلْهُ، فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Apabila ada yang berjalan melintasi di hadapan salah seorang kamu yang sedang bersolat, maka hendaklah dia menghalangnya. Sekiranya dia enggan menuruti, maka hendaklah dia menghalangnya. Sekiranya orang itu masih enggan maka hendaklah dia menghalangnya dengan lebih tegas kerana sesungguhnya ia merupakan syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (3274)

Sebahagian ulama menyatakan bahawa di antara sebabnya adalah kerana ia menyebabkan kekhusyukkan dan perhatian seseorang ketika solat terganggu. Akhirnya, ia membawa kepada kurangnya ganjaran pahala solatnya. Oleh sebab itu, kita dilarang daripada melintasi atau lalu di hadapan orang yang sedang solat. Begitulah juga halnya buat orang yang sedang solat, dia hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)