#4868: Tafsir Ayat 114 Surah al-Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh berikan tafsiran ayat 114 surah al-Baqarah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ وَسَعَىٰ فِى خَرَابِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌۭ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Dan siapakah yang lebih zalim  daripada mereka yang menghalang disebutkan nama Allah SWT di dalam   masjid-masjid-Nya dan mereka pula berusaha untuk merobohkan masjid-masjid tersebut. Sepatutnya mereka hanya memasuki masjid-masjid itu dalam keadaan takut kepada Allah SWT Oleh itu, mereka akan mendapat balasan kehinaan di  dunia dan azab yang amat besar di hari Akhirat.”

(Surah al-Baqarah: 114)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan: Terdapat perbezaan pendapat di kalangan mufassir (ahli tafsir) mengenai maksud orang yang melarang masjid-masjid Allah dan berusaha merosakkannya, dengan dua pendapat berbeza:

  • Pertama: Seperti yang diriwayatkan oleh Al-‘Awfi dalam tafsirnya, daripada Ibnu ‘Abbas mengenai firman Allah: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi masjid Allah agar tidak disebut nama-Nya di dalamnya?” Ibnu ‘Abbas berkata: “Mereka adalah orang Nasrani.” Dan Mujahid berkata: “Mereka adalah orang Nasrani yang merosakkan Baitul Maqdis dan menghalang orang lain daripada solat di dalamnya.” Abdul Razzaq juga menyampaikan riwayat daripada Ma’mar, daripada Qatadah mengenai firman Allah: “Dan berusaha merosakkannya (masjid Allah)” – iaitu Bukhtunnasr dan pengikut-pengikutnya yang merosakkan Baitul Maqdis dan dibantu oleh orang Nasrani. Dan Sa’id meriwayatkan daripada Qatadah, dia berkata: “Mereka, adalah musuh Allah daripada orang Nasrani. Kebencian Yahudi terhadap mereka mendorong mereka untuk membantu Bakhtanasr al-Babili, yang beragama Majusi, dalam merosakkan Baitul Maqdis.” Al-Suddi berkata: “Mereka dilihat secara zahir terbuka dalam membantu Bukhtanasr untuk merosakkan Baitul Maqdis sehingga akhirnya hancur. Dan perintah untuk menghancurkannya datang daripada Romawi, semata-mata kerana Bani Israil membunuh Yahya bin Zakariya. Riwayat serupa juga diriwayatkan daripada Hasan al-Basri.”
  • Kedua: Seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir: Yunus bin ‘Abdul A’la menyampaikan kepada kami, Ibnu Wahb memberitahu kami, dia berkata: Ibnu Zaid berkata mengenai ayat: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi masjid Allah agar tidak disebut nama-Nya di dalamnya dan berusaha merosakkannya?” Ibnu Zaid berkata: “Mereka adalah orang musyrik yang menghalang Rasulullah SAW pada hari Hudaybiyyah sehingga baginda tidak dapat memasuki Makkah untuk melaksanakan umrah dan menyembelih haiwan kurban. Mereka berkata: Tidak seorang pun boleh masuk ke atas kami yang telah membunuh bapa-bapa kami di Hari Badr, dan kami masih hidup di kalangan mereka.” Mengenai firman Allah: “Dan berusaha merosakkannya” – Ibnu Zaid berkata: “Mereka memintas dan menghalang orang yang ingin mendekatinya untuk haji dan umrah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/387)

Dalam Tafsir al-Bayan, disebutkan: Di sini Allah SWT memaparkan bentuk kejahilan dan sifat keji kaum Yahudi. Tujuannya adalah untuk mencegah kaum muslimin mengikut jejak langkah mereka serta meneguhkan akidah umat Islam bahawa sumber kebaikan, rahmat dan hak memilih rasul dan nabi  dari golongan mana sekalipun adalah hak mutlak Allah SWT Allah SWT melarang orang beriman daripada menggunakan kalimah ‘raainaa’ kepada Nabi SAW yang ertinya perhatikanlah kami. Ini kerana orang Yahudi biasa mengatakan ‘raaunah’ yang dalam bahasa mereka bererti ‘teramat bodoh’ sebagai ejekan kepada Nabi SAW. Oleh itu sebagai gantinya Allah SWT memerintahkan agar menggunakan kalimah ‘unzurnaa’ yang juga ertinya ‘lihatlah kami’. Tatacara perlakuan serta adab yang mulia yang dititikberatkan ialah perlunya seseorang mukmin menghindari telatah yang boleh menjatuhkan maruah atau mempersendakan Nabi SAW ketika berbicara dengan Baginda.

Bani Israel menolak al-Quran kerana al-Quran memansukhkan kitab mereka. Dan Allah SWT menerangkan bahawa Dialah yang memansukhkan ayat atau menggantikannya dengan lebih baik atau sebanding dengannya. Dia lebih mengetahui segala yang terdahulu, yang sedang berlaku dan yang terkemudian. Peruntukan ini diadakan berdasarkan kepada maslahat atau keperluan. Ini menunjukkan fleksibiliti syariat Islam.

Allah SWT menjelaskan permusuhan luaran dan dalaman serta kedengkian ahli kitab Yahudi dan Nasrani kepada orang beriman. Dalam keadaan mereka mengetahui kebenaran dan kelebihan orang beriman. Oleh itu, Allah SWT memerintahkan orang Islam supaya memaafkan mereka dan bersabar sehingga Allah SWT memberi pertolongan dan mengizinkan memerangi mereka.  Seterusnya orang Yahudi mendakwa bahawa syurga itu hanya milik mereka dan orang Nasrani juga turut mendakwa syurga hanya milik mereka. Setiap puak mengkafirkan puak yang lain. Demikianlah dakwaan dan angan-angan kosong mereka yang tidak berasas dan sia-sia.

Allah SWT meminta mereka memberikan dalil dari kitab Allah SWT jika dakwaan mereka benar. Sesungguhnya orang yang akan masuk syurga itu ialah mereka yang patuh kepada Allah SWT dan ikhlas dalam amalannya. Ini menunjukkan bahawa keimanan sahaja tidak memadai tetapi keimanan tersebut mestilah disertakan dengan amalan yang baik.

Allah SWT juga memberi amaran keras terhadap siapa yang menghalang dan menegah melakukan ibadah di dalam masjid dan berusaha untuk merosak serta meruntuhkannya  atau mengganggu  dan menghalang perlaksanaan syiar agama di situ. Bahkan mereka adalah orang paling zalim kerana meruntuhkan institusi Islam terpenting. Allah SWT menjanjikan kepada mereka kehinaan dan akan menerima azab yang pedih di Akhirat kelak iaitu di dalam Neraka Jahanam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/185-186)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”