#487 Qadha’ Solat yang Tersalah Arah Kiblat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kedudukan solat yang telah dilakukan, namun didapati salah arah kiblatnya? Adakah solat tersebut perlu diqadha’? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Kiblat

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)

Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat

Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.

(Surah al-Baqarah: 150)

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”

Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127-128)

Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 197; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm.200)

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/217)

Dalam mazhab al-Syafie, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:

  • Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  • Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  • Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  • Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/145)

Adakah Perlu Qadha Solat Jika Didapati Salah Qiblat?

Para ulama’ berbeza pandangan dan pendapat dalam soal ini. Terdapat dua qaul (pendapat):

  1. Qaul pertama menurut Mazhab Syafi’e berpendapat solat yang telah dilakukan menghadap kearah kiblat yang salah, wajib qadha semula solat yang telah dilakukan. Ianya dipetik daripada Minhaj at-Thalibin, dimana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/158)
  2. Qaul kedua pula berpendapat tidak perlu qadha solat yang telah dilakukan jika ternyata salah kiblat yang dituju. Ianya menurut salah satu qaul mazhab Syafi’iyyah, pendapat mazhab Hanafiyyah dan mazhab Malikiyyah.

Salah satu qaul dalam mazhab Syafi’iyyah menyebut bahawa tidak perlu qadha solat kerana adalah harus untuk berijtihad untuk menentukan arah kiblat solat dan solat apabila yakin arah yang dituju itu tidak salah. Manakala arah kiblat juga tidak diketahui ketepatannya secara hakiki, maka ia berbalik kepada kaedah ‘ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/222; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/144)

Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah pula daripada al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar:

وَإِنِ اشْتَبَهَتْ عَلَيْهِ الْقِبْلَةُ وَلَيْسَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُهُ اجْتَهَدَ وَصَلَّى وَلَا يُعِيدُ (ف) وَإِنْ أَخْطَأَ فَإِنْ عَلِمَ بِالْخَطَأِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ اسْتَدَارَ وَبَنَى، وَإِنْ صَلَّى بِغَيْرِ اجْتِهَادٍ فَأَخْطَأَ أَعَادَ

Maksudnya: “Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib keatasnya mengulangi solat yang telah dilakukan.” (Lihat al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/47)

Dalam kitab Durar al-Hukkam pula dinyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu mengulangi solat jika didapati kiblatnya salah setelah dia berijtihad untuk menentukan kiblat tersebut. Hal ini kerana Allah SWT tidak mentaklifkan seseorang untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara hakiki. (Lihat Durar al-Hukkam Syarh Majallah al-Ahkam, 1/61)

Pendapat ini berdasarkan hadith Baginda SAW:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ القِبْلَةُ، فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ، فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ: {فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maksudnya: “Kami dahulu bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran di malam hari yang gelap-gelita. Maka kami tidak mengetahui di mana arah kiblat. Maka setiap orang dari kami solat menurut keyakinan masing-masing. Kemudian pada waktu paginya, kami menceritakannya kepada SWT” Nabi SAW, maka turunlah ayat: “Ke arah manapun kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (345)

Menurut Mazhab Malikiyyah pula, sesiapa yang solat kemudian tahu kiblatnya salah sesiapa yang solat kemudian jelas salah kiblatnya, mestilah mengulangi solatnya dalam waktu tersebut (pendapat masyhur). Jika seseorang melakukan solat menghadap suatu arah kiblat menurut ijtihadnya sendiri, kemudian didapati salah kiblatnya maka mengikut alamat zahir, baginya perlu diulang solat dalam waktu tersebut. Sekiranya tidak terdapat alamat yang zahir maka tidak perlu diulang solatnya. (Lihat al-Qawanin al-Fiqhiyyah, 1/42)

Akhir sekali, menurut Mazhab Hanabilah, Imam Ibn Qudamah berpendapat dalam Al-Mughniy bahawa apabila seseorang itu solat ke suatu arah berdasarkan ijtihadnya, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblatnya salah, maka tidak perlu diulang solatnya. (Lihat al-Mughni, 1/325)

Penutup

Isu penentuan arah kiblat adalah merupakan perkara ijtihadiyyah dan bersifat zhanniy sahaja. Arah kiblat yang ditentukan oleh pasukan falak syar’ie adalah berdasarkan kaedah-kaedah teknologi moden menggunakan peralatan.

Berdasarkan persoalan adakah perlu diqadha’ solat yang yang telah dilakukan dengan menghadap arah kiblat yang salah, maka kami memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan.

Hal ini juga bersesuaian dengan prinsip yang disebut dalam al-Quran al-Karim:

يريد اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah SWT ingin memudahkan kamu, dan tidak mahu menyusahkan kamu.”

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Bertaqwalah kalian kepada Allah SWT semampu mungkin.”

 (Surah al-Taghabun: 16)

Walaupun begitu, jika hanya satu atau dua waktu yang tersilap, kami syorkan untuk diqadha’. Tetapi, jika sudah begitu lama dan bertahun, maka kami berpendapat ianya dimaafkan dan tidak perlu qadha.

Wallahua’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H