#4870: Dajjal dan Dabbah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kronologi hari kiamat antara dajjal dan dabbah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-‘Arab (hlm. 236-237) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu,  dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipu daya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كُفُر (kufur) atau كَافِر (kafir). (Lihat Siri 1 Kajian al-Fitan wa al-Malahim, Dajjal; Hakikat dan Tanda Akhir Zaman, hlm. 6-7)

Manakala Al-Dabbah (الدابة) menurut bahasa adalah setiap yang berjalan di atas muka bumi. (Lihat Mukhtar al-Sihah, 101/1)

Menurut istilah pula, al-Dabbah adalah sejenis binatang yang akan keluar di akhir zaman (apabila manusia dalam keadaan yang jauh daripada agama) dan keluarnya al-Dabbah ini merupakan antara tanda-tanda besar hari Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang banyak. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 610/1)

Terdapat banyak nas tentang kemunculan Dabbatul Ardh pada akhir zaman, antaranya:

Allah SWT berfirman:

وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِّنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.

(Surah al-Naml: 82)

Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menyebut: Kebanyakan ulama’ berkata: Keluarnya dabbah yang disebut ini apabila manusia sudah tidak menyeru yang makruf dan tidak mencegah yang mungkar. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Ibn Umar R.Anhuma sepertimana diriwayatkan berkata: “Ia berlaku apabila tidak ada lagi yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.” Begitu juga daripada ‘Atiyyah, katanya: “Apabila manusia sudah tidak mengenal yang makruf (kebaikan) dan sudah tidak mengingkari yang mungkar (kejahatan).” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an, 10/14)

Ibn Kathir berkata: Binatang ini akan keluar pada akhir zaman semasa manusia telah rosak dan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT serta menukar agama yang haq (dengan mengikut kebatilan). Maka Allah SWT akan mengeluarkan kepada mereka binatang dari bumi. Dikatakan ia dari Mekah. Dan dikatakan juga dari selainnya. Maka manusia mula berbicara berkenaan binatang tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/210)

Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata Ibn Mas’ud R.A yang menyebut: “وَقَعَ الْقَوْلُ” (berlakunya hukuman) itu dengan matinya para ulama’, hilangnya ilmu dan terangkatnya al-Quran.” Kata beliau lagi: “Perbanyakkanlah membaca al-Quran sebelum ia terangkat.” Orang ramai bertanya: “Mushaf al-Quran ini terangkat (boleh difahami), bagaimana al-Quran yang tersimpan di dada orang yang menghafaz?” Jawab Abdullah R.A: “Malamnya dia masih ingat, pagi esoknya hilang dari dadanya dan dia lupa akan “لا اله إلا الله”. Dan mereka mengambil kata-kata jahiliah dan syair-syairnya. Maka ketika itulah jatuh ketetapan hukuman ke atas mereka.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/155)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Pada akhir zaman, ketika manusia sudah rosak, tidak menjalankan perintah-perintah Allah, menggantikan agama yang haq, mereka berhak mendapat azab yang dijanjikan iaitu menjelang datangnya Kiamat. Allah SWT mengeluarkan binatang melata dari bumi untuk manusia, yang berbicara kepada mereka bahawa kebanyakan manusia tidak meyakini ayat-ayat Allah. Boleh jadi binatang itu adalah manusia sebagaimana pendapat sebahagian mufassir muta’akhirin kerana disifatkan dengan “bercakap” dan juga kerana semua yang melata di atas bumi adalah “دَابَّة” (binatang yang melata). Binatang tersebut terdapat dalam athar-athar (riwayat-riwayat) dinamakan Jassasah. Mengenai hal itu, terdapat beberapa hadith ahad. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 20/34)

Kronologi Peristiwa Kiamat Antara Dajjal Dan Dabbah

Perbahasan yang menarik yang dinukilkan daripada Kitab Asyrat al-Sa‘ah oleh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil antara lain menyebut Imam Ahmad dan Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Zur‘ah yang berkata: Ada tiga puak orang Islam yang bertemu Marwan bin al-Hakam di Madinah lalu mereka mendengar beliau sedang membicarakan berkenaan tanda akhir kiamat dengan menyebut bahawa yang pertama keluar ialah Dajjal. Lantas Abdullah ibn ‘Amr R.A berkata, “Marwan tidak mengatakan sesuatu. Sesungguhnya aku menghafal satu hadis daripada Rasulullah SAW di mana aku tidak lupa lagi. Aku mendengar Baginda SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ خُرُوجًا طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا ، وَخُرُوجُ الدَّابَّةِ عَلَى النَّاسِ ضُحًى ، وَأَيُّهُمَا مَا كَانَتْ قَبْلَ صَاحِبَتِهَا ، فَالْأُخْرَى عَلَى إِثْرِهَا قَرِيبًا

Maksudnya: Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha. Antara keduanya tidak diketahui mana yang terkemudian keluarnya tetapi keluarnya secara berturutan. Yang satu mengikuti yang satunya dalam jangka waktu yang singkat.

Riwayat Muslim (5238) dan Ahmad (6881)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Hikmah yang demikian itu bahawa keluarnya matahari dari sebelah Barat sebagai menutup pintu taubat. Kemudian, datang Dabbatul Ardh yang membezakan antara orang yang beriman dan orang kafir sebagai penyempurnaan untuk maksud sebenar pintu taubat telah tertutup. (Lihat Asyrat al-Sa’ah: al-‘Alamat al-Kubra dalam Mausu’ah al-Akhirah oleh Mahir Ahmad al-Sufi, 2/172)

Mengikut riwayat Ahmad, beliau menambah: “Dan Abdullah berkata sambil membaca kitab dan saya berpendapat, yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari barat.” Ibn Hajar menggabungkan antara keluarnya Dajjal dan keluarnya matahari dari barat sebagai tanda yang keluar pertama kali: “Dari riwayat tersebut, maka dapat ditarjihkan bahawa keluarnya Dajjal sebagai tanda datangnya hari kiamat yang pertama kali muncul yang memberitahu terjadinya perubahan keadaan di bumi. Perkara ini berakhir dengan wafatnya Nabi Isa A.S. Sedangkan terbitnya matahari dari barat menunjukkan perubahan keadaan alam dan perkara ini berakhir dengan datangnya hari kiamat dan keluarnya binatang Dabbatul Ardh. Kemungkinan terjadi pada hari terbitnya matahari dari barat.Hikmahnya bahawa ketika matahari terbit dari barat, pintu taubat ditutup lalu keluarlah binatang Dabbatul Ardh yang kedatangannya untuk membezakan antara Mukmin dan kafir dengan maksud menyempurnakan penutupan pintu taubat. Sedangkan tanda yang pertama kali datangnya Kiamat ialah api yang menghimpunkan seluruh manusia.”

Al-Hafiz Ibn Kathir berpendapat keluarnya binatang dari perut bumi merupakan tanda-tanda hari kiamat yang pertama kali terjadi. Pendapat yang muktamad dan kuat ialah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar iaitu dengan keluarnya Dajjal.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/53-54)

Kesimpulan

Sesungguhnya Kemunculan Dajjal dan Dabbatul Ardh salah satu daripada tanda kiamat besar yang akan berlaku sebelum dunia kiamat. Sebahagian ulama’ menganggap kemunculan Dabbatul Ardh dengan izin Allah adalah salah satu daripada antara tanda-tanda akhir yang besar yang berlaku. Justeru, sewajarnya kita imani dengan penuh keyakinan kepada Allah berkenaan dengan hari Akhirat dan tanda-tanda kiamat.

Kita sebagai umat yang terakhir dibangkit oleh Allah di dunia ini umpama waktu solat Asar hingga terbenamnya matahari. Itulah jarak kehampiran antara kita dengan Kiamat. Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: Aku dengar Rasulullah SAW di atas minbar, dalam keadaan berdiri menyampaikan khutbah dengan sabdanya:

إِنَّمَا بَقَاؤُكُمْ فِيمَا سَلَفَ قَبْلَكُمْ مِنْ الْأُمَمِ كَمَا بَيْنَ صَلَاةِ الْعَصْرِ إِلَى غُرُوبِ الشَّمْسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kekalnya kamu berbanding umat sebelum kamu sama seperti solat Asar hingga matahari terbenam.”

Riwayat al-Bukhari (7467)

Kami berdoa kepada Allah, semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bentuk fitnah dan matikan kita dalam husnul khatimah. Amin.

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: Ya Allah sudahilah (matikanlah) bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.