#4872: Hak dan Kebajikan Pekerja Berdasarkan Surah al-Qasas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah pekerja ada hak berdasarkan tafsiran al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَدَخَلَ ٱلْمَدِينَةَ عَلَىٰ حِينِ غَفْلَةٍۢ مِّنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَـٰذَا مِن شِيعَتِهِۦ وَهَـٰذَا مِنْ عَدُوِّهِۦ ۖ فَٱسْتَغَـٰثَهُ ٱلَّذِى مِن شِيعَتِهِۦ عَلَى ٱلَّذِى مِنْ عَدُوِّهِۦ فَوَكَزَهُۥ مُوسَىٰ فَقَضَىٰ عَلَيْهِ ۖ قَالَ هَـٰذَا مِنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۖ إِنَّهُۥ عَدُوٌّۭ مُّضِلٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Dan pada suatu hari, Musa masuk ke dalam kota ketika penghuninya sedang leka, lalu dia ternampak dua orang lelaki sedang berkelahi, maka didapati salah seorang daripada golongannya sendiri dan seorang lagi daripada golongan musuhnya, Firaun. Lelaki daripada golongannya itu meminta pertolongan Musa, lantas Musa menumbuk lelaki daripada golongan musuhnya sehingga menyebabkan kematian. Musa berkata, “Sesungguhnya ini adalah angkara syaitan, dialah musuh penyesat yang amat nyata.””

(Surah al-Qasas: 15)

Pada ayat ke-15 Surah al-Qasas, ada disebutkan beberapa riwayat tafsiran ke atas ayat ini berkenaan pergaduhan atau perbalahan di antara dua orang lelaki. Salah seorang  daripadanya merupakan golongan Nabi Musa A.S iaitu Bani Israel, manakala seorang lagi daripada pihak musuhnya iaitu bangsa Qibti, dalam erti kata lain orang Firaun. Dalam suatu riwayat daripada Ibn Salam, bahawasanya lelaki Qibti memaksa lelaki Bani Israel itu untuk memikul kayu api buat dirinya, seterusnya dibawa ke dapur istana Firaun. Paksaan ini dalam konteks tanpa memberikan sebarang upah terhadap pekerjaan itu dan tanpa kerelaan daripada lelaki itu sendiri. Oleh sebab itu, lelaki daripada Bani Israel itu enggan melakukannya, lalu terjadilah perbalahan di antara mereka berdua.

Berdasarkan kepada riwayat yang dibawakan oleh Ibn Salam ini, kita dapat melihat wujudnya interaksi ataupun muamalat antara tuan hamba (lelaki Qibti) dan hamba (lelaki Bani Israel). Dalam konteks semasa, perhambaan sudah tiada dan tidak lagi dipraktikkan di seantero dunia, namun kita boleh melihatnya dari satu sudut lain iaitu bagaimana hubungan seorang pekerja dengan majikannya. Justeru, ada beberapa hak pekerja yang perlu diambil berat oleh para majikan, antaranya adalah tidak membebankan pekerja di luar kemampuannya sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu melakukan tugas dengan sebaiknya. Jika terpaksa dilakukan juga, maka bantulah mereka semampunya. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (30)

Imam al-Nawawi berkata: Ganti nama pada perkataan mereka adalah saudara-saudara kamu dengan maksud hamba yang kamu miliki dan diperintahkan memberi makan kepada mereka seperti apa yang dimakan oleh tuan mereka. Begitu juga memberi pakai mengikut pakaian tuan mereka dengan maksud sunat seperti itu, bukan satu kewajiban. Ini adalah dengan ijma’. Adapun yang dilakukan oleh Abu Zar dengan pakaian yang sama seperti hambanya, dengan maksud hukumnya sunat. Tetapi yang wajibnya kepada penghulu atau tuan memberi nafkah kepada hamba yang dimilikinya dan pakaiannya mengikut uruf sesebuah negeri dan seseorang itu. Secara umumnya, ijma’ ulama tidak harus mentaklifkan seseorang daripada amalan atau pekerjaan yang di luar kemampuannya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/113)

Selain itu, mereka juga mempunyai hak untuk memperoleh upah ataupun gaji ke atas kerja yang dilakukan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma bahawasanya Nabi SAW bersabda:

أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”

Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan hadith ini hasan lighairih

Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)

Lantaran itu, melihat semula ke dalam kisah dua orang lelaki seperti yang dinyatakan di dalam Surah al-Qasas ini, dapatlah kita lihat bahawa bagaimana seorang tuan hamba atau majikan memaksa hambanya (pekerjanya) untuk melakukan suatu pekerjaan tanpa kerelaannya sendiri, tanpa sebarang upah dan juga dengan bebanan yang sangat berat. Sepatutnya, seseorang majikan hendaklah mengambil cakna akan hal ini dengan meraikan hak-hak pekerja, dalam masa yang sama para pekerja pula hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya agar hubungan dan interaksi di antara kedua-dua belah pihak harmoni dan aman tanpa sebarang pertelingkahan mahupun ketidakpuasan hati. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/87-88)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”