Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah hidayah tidak terikat dengan nasab dan keturunan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Salah satu prinsip dalam agama kita ialah konsep bahawa iman itu tidak dapat diwarisi. Hal ini jelas melalui firman-Nya:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
(Surah al-Qasas: 56)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473)
Guru kami, Fadilatu al-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti berkata: “Hidayatu al-Taufiq khusus untuk Allah, tidak diberikan kepada nabi yang diutuskan atau malaikat yang hampir. Justeru, Nabi Nuh sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, Nabi Ibrahim kepada bapanya – walaupun kepada anak atau ayahnya.”
Imam Ibn Rajab al-Hanbali membahagikan hidayah kepada dua:
- Hidayah yang bersifat mujmal, iaitu hidayah kepada agama Islam dan iman, yang ini dianugerahkan-Nya kepada setiap muslim.
- Hidayah yang bersifat khusus dan terperinci, iaitu hidayah untuk mengetahui perincian cabang-cabang iman dan islam, serta pertolongan-Nya untuk mengamalkan semua itu. Hidayah ini sangat diperlukan oleh setiap mukmin siang dan malam.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 225)
Menjawab persoalan di atas, benar, hidayah Allah SWT tidak terikat dengan nasab dan keturunan. Ayat 56 Surah al-Qasas yang diturunkan berkenaan keengganan Abu Talib – bapa saudara Rasulullah SAW sendiri – untuk memeluk Islam sehingga dia menghembus nafas yang terakhir, walau sudah berkali-kali dipujuk oleh Baginda, menjadi bukti akan ketegasan dan kelurusan agama Islam. Meskipun Abu Talib menjadi pelindung dan pemelihara keselamatan Baginda selama bertahun-tahun, hal yang demikian tidak menatijahkan hidayah Allah kepadanya kerana perlindungannya adalah didasari kepada hubungan kekeluargaan dan sifat kebapaan, bukannya kerana akidah Islam. Allah SWT Maha Mengetahui hakikat tersebut, maka Dia tidak mengabulkan hasrat Nabi SAW yang amat menginginkan keislaman bapa saudara nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/141)
Konsep ini juga jelas terzahir melalui hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang lambat dan ketinggalan dalam melakukan kebaikan, nasab dan keturunannya tidak akan mempercepatkannya.”
Riwayat Muslim (2699)
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa amalan kebaikan seseorang itu tidak terikat dengan nasab dan keturunan, bahkan ia bergantung dengan kesedaran dan hidayah dan taufiq daripada Allah SWT.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”