#4876: Kelebihan Berdoa Sebelum Bersetubuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah kelebihan berdoa sebelum bersetubuh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Di antara doa yang diajarkan oleh Nabi SAW adalah doa ketika pasangan suami isteri ingin melakukan hubungan intim. Apabila seorang suami ingin mendatangi isterinya maka ucapkanlah:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku daripada syaitan dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepadaku.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya kelebihan membaca doa sebelum berjimak ada dinyatakan dalam hadith yang sahih iaitu sekiranya pasangan tersebut dikurniakan anak anak, nescaya syaitan tidak akan mampu memudaratkannya dan anak itu tidak akan dikuasai oleh syaitan.

Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ: اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي، فَإِنْ كَانَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ الشَّيْطَانُ، وَلَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya dengan mengucapkan: “اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي” (Ya Allah, jauhkanlah aku daripada syaitan dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepadaku), sekiranya mereka berdua dikurniakan seorang anak, nescaya syaitan tidak akan mampu memudaratkannya dan anak itu tidak akan dikuasai oleh syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (3283)

Begitu juga dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya lalu dia mengucapkan: “بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا” (Bismillah, Ya Allah jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami), maka apabila ditetapkan buat mereka berdua lahirnya seorang anak, maka syaitan tidak akan mampu memberi mudarat kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (141)

Al-hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, di antara faedah yang terdapat pada hadith ini adalah anjuran atau galakkan untuk membaca tasmiyyah (bismillah), berdoa, dan menjaga hal tersebut dalam perkara-perkara yang melazatkan seperti hubungan suami isteri. (Lihat Fath al-Bari, 9/136).

Selain itu, al-hafiz Ibn Hajar juga ada menukilkan riwayat lain yang menyebutkan:

إِذَا أَتَى الرَّجُلُ أَهْلَهُ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَلَا تَجْعَلْ لِلشَّيْطَانِ نَصِيبًا فِيمَا رَزَقْتَنَا، فَكَانَ يُرْجَى إِنْ حَمَلَتْ أَنْ يَكُونَ وَلَدًا صَالِحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang lelaki itu mendatangi isterinya lalu dia membaca: “بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَلَا تَجْعَلْ لِلشَّيْطَانِ نَصِيبًا فِيمَا رَزَقْتَنَا” (Bismillah, Ya Allah berkatilah kami pada apa yang kau telah rezekikan kepada kami, dan janganlah kau jadikan bagi syaitan itu bahagian dari rezeki kami ini), maka diharapkan sekiranya isteri tersebut mengandung, kandungannya akan menjadi seorang anak yang soleh.”

Hadith-hadith sebegini memberikan isyarat bahawa syaitan itu sentiasa melazimi anak-anak Adam dan tidak akan berpaling dari mereka melainkan apabila dibacanya zikrullah. Serta menunjukkan tuntutan untuk seseorang itu sentiasa memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada segala bentuk kejahatan dalam urusan dunianya dan juga urusan akhirat. (Lihat Fath al-Bari, 9/136).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”