#4881: Konsep Masa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah konsep masa yang linear bukti keagungan Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Abu Hurairah R.A mendengar daripada Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman:

يَسُبُّ ابْنُ آدَمَ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ بِيَدِيَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Maksudnya: “Anak Adam telah mencela masa, sedangkan ‘Akulah’ masa itu; berada di ‘Tangan-Ku’, malam dan siang.”

Riwayat Muslim (2246)

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Anak Adam telah menisbahkan kepada-Ku apa yang tidak layak bagi-Ku.” (Lihat Fath al-Bari, 13/467)

Imam al-Nawawi berkata: “Maksud Akulah masa itu ialah Allah sebagai Pembuat segala perkara-perkara yang diturunkan, peristiwa-peristiwa yang berlaku, dan Pencipta segala kejadian.”  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 15/3)

Menjawab persoalan di atas, dalam ilmu fizik moden, hukum termodinamik kedua menyatakan bahawa masa adalah linear. Kesannya, hukum ini menyimpulkan prinsip peningkatan entropi dan menjelaskan fenomena tak boleh undur pada alam semulajadi.[1] Kefahaman ini membolehkan manusia mengukur kualiti tenaga apabila ia berpindah dan berubah.[2]

Jika kita bandingkan ilmu fizik ini dengan konsep beriman dengan takdir dalam Islam, kita dapat memahami bahawa jasad manusia itu tidak bersifat kekal dan menerima kebinasaan kerana ia tertakluk kepada hukum tabiat termasuklah hukum masa dan tenaga. Manusia tidak akan dapat lari daripada kesan masa terhadap hidup mereka kerana kenikmatan dan kejayaan duniawi yang mereka dapat hanyalah sementara semata-mata. Apabila tarikh luputnya sudah tiba, segala kenikmatan yang diperolehi itu akan musnah. Inilah sunnah kehidupan di dunia; yang hidup akan mati, yang cantik akan luntur, dan yang muda akan tua. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/190-191)

Jika inilah hukum masa dan tenaga yang diciptakan Allah SWT di dunia, maka adakah mustahil bagi Allah SWT untuk mengazab mereka yang ingkar di hari akhirat?

Maka benarlah apa yang difirmankan Allah SWT dalam ayat ke-22:

وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍۢ

Maksudnya: “Dan kamu sama sekali tidak dapat melepaskan diri dari-Nya sama ada di langit atau pun di bumi dan tiada bagi kamu pelindung dan penolong selain daripada Allah. Perkara yang kekal hanyalah apa yang dikekalkan oleh Pemilik Masa itu sendiri yakni Allah SWT; iaitu keimanan dan amalan soleh.”

(Surah al-Ankabut: 22)

Marilah sama-sama kita mengingati uslub al-Quran dalam memberi maksud dan makna masa bagi kehidupan manusia. Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr:1-3)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat pertama dari surah al-‘Asr ini berkata:

إن ربنا أقسم بالعصر( وَالْعَصْرِ ) اسم للدهر، وهو العشيّ والليل والنهار، ولم يخصص مما شمله هذا الاسم معنى دون معنى، فكلّ ما لزِمه هذا الاسم، فداخل فيما أقسم به جلّ ثناؤه.

Maksudnya : “Tuhan kita bersumpah dengan al-‘ashr sementara makna al-‘asr adalah sebutan masa iaitu senja, malam dan siang dan tidak dikhususkan dengan salah satu maknanya dan mengesampingkan makna yang lainnya. Jadi semua boleh disebut dengan sebutan ini dan tercakup dalam sumpah Allah SWT tersebut. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/589).

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya (1/319) menaqalkan pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah yang berkata:

لَوْ تَدَبَّرَ النَّاس هَذِهِ السُّورَة لَكَفَتْهُمْ

Maksudnya : “Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.”

Imam al-Syaukani pula menyebut:

أقسم سبحانه بالعصر ، وهو الدهر ، لما فيه من العبر من جهة مرور الليل والنهار على تقدير الأدوار ، وتعاقب الظلام والضياء ، فإن في ذلك دلالة بينة على الصانع عزّ وجلّ ، وعلى توحيده

Maksudnya : “Allah SWT bersumpah dengan masa iaitu waktu kerana di dalamnya terdapat pelbagai pelajaran, dari sudut berlalunya malam dan siang dengan perhitungan putarannya serta pergantian gelap dan terang. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat petunjuk yang jelas terhadap Pencipta yang Maha Perkasa, Maha Mulia dan untuk bertauhid hanya kepadaNya. (Lihat Tafsir Fathul Qadir, 8/56).

Al-Maraghi berkata bahawa Allah bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terdapat banyak peristiwa dan pelajaran yang dijadikan sebagai petunjuk tentang kekuasaan, ketinggian hikmah dan keluasan ilmuNya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7696).

Dalam Sofwah al-Tafasir oleh Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni menerangkan bahawa masa adalah diantara penyebab kepada kebahagiaan manusia atau kebinasaannya dalam kehidupan. Ia juga menunjukkan dalil-dalil kepada kekuasaan Allah dan hikmahnya. Justeru, manusia yang bijaksana itu akan mempunyai empat sifat yang dinyatakan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sifat tersebut dianggap sebagai asas iman. Asas-asas tersebut ialah iman, amal yang soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan berpegang dengan kesabaran. (Lihat Sofwah al Tafasir, 3/578).

Allah SWT bersumpah dengan masa kerana masa menjadi perkara pokok (utama) bagi manusia. Hal ini menunjukkan apabila manusia berpegang dan beriman (menjaga) dengan masa dengan sebenar-benarnya, maka kehidupan seorang manusia akan menjadi sempurna. Oleh itu, masa adalah perkara yang paling utama di antara yang perlu dijaga sebagai seorang Muslim.

Di dalam Tafsir al-Mishbah menyebut bahawa para ulama’ sepakat mengertikan perkataan ‘ashr pada ayat pertama ini dengan waktu. Namun, terdapat perbezaan pendapat diantara para ulama tentang pengertian waktu itu. Oleh itu, penulis tafsir tersebut berkata bahawa pendapat yang paling tepat adalah waktu secara umum. Seterusnya beliau menukilkan daripada Syeikh Muhammad Abduh bahawa Allah SWT bersumpah dengan waktu kerana telah menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa turunnya al-Quran untuk berkumpul dan berbincang-bincang berkenaan pelbagai perkara dan tidak jarang dalam perbincangan mereka itu terlontar kata-kata mempersalahkan waktu atau masa. “Waktu sial”, demikian ucapan yang sering kali terdengar apabila mereka gagal, atau “waktu baik” jika sekiranya mereka berhasil. Allah SWT bersumpah demi waktu untuk membantah anggapan mereka bahawa tidak ada sesuatu yang dinamakan waktu sial atau waktu baik melainkan semua waktu adalah sama. Yang berpengaruh adalah kebaikan dan keburukan usaha seseorang dan inilah yang berperanan dalam baik atau buruknya kesudahan sesuatu pekerjaan. (Rujuk Tafsir al-Mishbah, 15/585).

Saya pernah terbaca di dalam satu buku yang menyebut perkataan (الْعَصْرِ) itu merujuk kepada kalimah ‘asir (عصير). Ia juga memberi maksud perahan atau minuman yang diperah seperti air tebu, air mangga dan lain-lain. Ini memberi makna sifat perahan adalah menghabisi sehingga tinggal hanya hampas seperti batang tebu yang telah diperah airnya yang dimasukkan dalam mesin perahan beberapa kali.

Justeru, dalam bahasa yang simbolik, “hai manusia, gunakan masa yang ada pada kamu dan perahlah ia dengan sehabisnya untuk bekalan kamu di hari akhirat kelak kerana dunia destinasi yang sementara sedangkan akhirat itulah matlamat yang bersifat kekal abadi.” Justeru, janganlah kita alpa dengan masa yang berbaki agar apabila tiba masanya kita tidak termasuk dalam nas yang menyebutkan: “berada dalam kerugian.“ (Lihat Masa: Peliharalah, hlm.2-6)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Hukum_termodinamik_kedua

[2] Lihat  https://www.livescience.com/50941-second-law-thermodynamics.html