#4886: Talam Dua Muka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah talam dua muka adalah sifat yang keji dan dikutuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hal seperti ini mengingatkan kami perangai golongan munafiqin sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran al-Karim:

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ (14) اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ (15) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

Maksudnya:  “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”. Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.”

(Surah al-Baqarah: 14-16)

Dalam istilah Melayu, talam dua muka bermaksud bermuka dua; mendua hati; munafik.

Seterusnya hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Nabi SAW bersabda:

تَجِدُ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ يَوْمَ القِيَامَةِ عِنْدَ اللَّهِ ذَا الوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ، وَهَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ

Maksudnya: “Engkau akan mendapati di antara seburuk-buruk manusia pada hari kiamat di sisi Allah ialah mereka yang bersikap talam dua muka, (iaitu) yang datang kepada mereka (satu kumpulan) dengan satu wajah, sementara kepada mereka (satu kumpulan yang lain) dengan wajah (yang lain pula).”

Riwayat al-Bukhari (6058)

Nas ini menunjukkan, Rasulullah SAW menggelarnya orang yang bersikap talam dua muka sebagai sejahat-jahat manusia, kerana tiada kesetiaan atau dalam bahasa moden, makan keliling. Sifat tersebut adalah jauh daripada jalan yang sebenar. Ia merupakan ciri-ciri munafik. Wal iyaz billah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”