#4887: Ingin Bersama Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara kita ingin bersama Rasulullah SAW di dalam syurga, sedangkan kita ketahui jika Allah SWT takdirkan kita menjadi ahli syurga dengan rahmat-Nya, sudah tentu kedudukan kita jauh daripada Rasulullah SAW yang berada di maqam tertinggi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

(Surah al-Nisa’: 69)

Terdapat beberapa hadith Rasulullah SAW dalam memberi jawapan terhadap hal ini.

Pertama: Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ تَقُولُ فِي رَجُلٍ أَحَبَّ قَوْمًا وَلَمْ يَلْحَقْ بِهِمْ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ.

Maksudnya: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu tentang seorang lelaki yang mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai.”

Riwayat al-Bukhari (6169)

Daripada Abu Musa, katanya:

قِيلَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُحِبُّ القَوْمَ  وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ؟ قَالَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Maksudnya: Dikatakan kepada Nabi SAW: “Seorang lelaki mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka.” Baginda bersabda: “Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai.”

Riwayat al-Bukhari (6170)

Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَتَى السَّاعَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «مَا أَعْدَدْتَ لَهَا؟» قَالَ: مَا أَعْدَدْتُ لَهَا مِنْ كَثِيرِ صَلاَةٍ وَلاَ صَوْمٍ وَلاَ صَدَقَةٍ، وَلَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، قَالَ: «أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ».

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW: “Bilakah hari kiamat wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apa yang kamu persiapkan untuknya?” Dia berkata: “Aku tidak mempersiapkan untuknya dengan banyak bersolat, puasa, dan sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Baginda bersabda: “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.”

Riwayat al-Bukhari (6171)

Kami akhiri dengan sebuah hadith, seorang sahabat Nabi SAW, daripada Rabi‘ah bin Ka‘b R.A, katanya:

كُنْتُ أَبِيتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ فَقَالَ لِي: ‏سَلْ‏، فَقُلْتُ: أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ‏،‏ قَالَ: ‏أَوَغَيْرَ ذَلِكَ‏،‏ قُلْتُ: هُوَ ذَاكَ،‏ قَالَ: ‏فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya, lalu Baginda SAW berkata kepadaku: ‘Mintalah’ Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga’ Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja’ Baginda bersabda: ‘Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud’.”

Riwayat Muslim (489)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”