#4888: Syarat Jawab Bersin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika saya bersin, adakah saudara saya menjawabnya dengan mendoakan kepada saya dan apa syaratnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ

Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”

Riwayat Al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)

Berkenaan persoalan di atas, antara syarat jawabnya ialah, yang bersin itu sendiri memuji Allah dengan menyebut alhamdulillah. Jika dia senyap, maka tidak perlu dijawb oleh rakannya dengan berdoa kepadanya.

Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Anas R.A, katanya:

عَطَسَ رَجُلاَنِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَشَمَّتَ أَحَدَهُمَا وَلَمْ يُشَمِّتِ الآخَرَ، فَقَالَ الرَّجُلُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَمَّتَّ هَذَا وَلَمْ تُشَمِّتْنِي، قَالَ: إِنَّ هَذَا حَمِدَ اللَّهَ، وَلَمْ تَحْمَدِ اللَّهَ.

Maksudnya: Dua orang lelaki telah bersin di sisi Nabi SAW, lalu Baginda hanya mendoakan kepada salah seorang daripada mereka, dan Baginda tidak mendoakan kepada yang seorang lagi. Maka lelaki yang tidak didoakan oleh Nabi itu bertanya: “Wahai Rasulullah! Kamu mendoakan lelaki ini dan tidak mendoakan kepadaku.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya lelaki ini memuji Allah, sedangkan kamu tidak memuji Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6225)

Justeru, jelas di sini, syarat untuk menjawab bersin dengan orang yang bersin itu mestilah menyebut: Alhamdulillah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”