#4889: Harta Hijau dan Manis

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah harta sifatnya hijau dan manis dan bagaimana cara kita mengendalikannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Maksud hijau dan manis lebih kepada menggoda sehingga manusia ingin memperolehi dan memilikinya. Benarlah firman Allah SWT:

‏ زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ ‎

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

(Surah Ali Imran: 14)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan memang benar. Inilah yang disifatkan oleh Rasulullah SAW kepada Hakim bin Hizam R.A, di mana Hakim berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَعْطَانِي، ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَأَعْطَانِي، ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَأَعْطَانِي، ثُمَّ قَالَ: «هَذَا المَالُ» – وَرُبَّمَا قَالَ سُفْيَانُ: قَالَ لِي – «يَا حَكِيمُ، إِنَّ هَذَا المَالَ خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِطِيبِ نَفْسٍ بُورِكَ لَهُ فِيهِ، وَمَنْ أَخَذَهُ بِإِشْرَافِ نَفْسٍ لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهِ، وَكَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلاَ يَشْبَعُ، وَاليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى»

Maksudnya: Aku pernah meminta sesuatu daripada Nabi SAW maka Baginda memberikannya kepadaku. Kemudian aku meminta lagi kepada Baginda dan Baginda pun memberikannya kepadaku. Lalu aku meminta lagi kepada Baginda dan Baginda pun memberikannya kepadaku, lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya harta ini” — dan mungkin Sufyan berkata: Baginda berkata kepadaku: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini — hijau (indah) lagi manis (seperti buah). Sesiapa yang mengambilnya dengan tidak tamak maka ia akan diberkati dan sesiapa yang mengambilnya dengan tamak maka ia tidak akan diberkati. Dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”.

Riwayat al-Bukhari (6441)

Adapun cara yang terbaik sebagaimana Rasulullah SAW ajar kepada kita: Daripada Abdullah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

أَيُّكُمْ مَالُ وَارِثِهِ أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ مَالِهِ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا مِنَّا أَحَدٌ إِلَّا مَالُهُ أَحَبُّ إِلَيْهِ، قَالَ: «فَإِنَّ مَالَهُ مَا قَدَّمَ، وَمَالُ وَارِثِهِ مَا أَخَّرَ.

Maksudnya: “Siapa di antara kamu yang harta pewarisnya lebih dia sukai daripada hartanya sendiri?” Mereka (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, tidak ada seorang pun daripada kalangan kami melainkan lebih menyukai hartanya.” Baginda bersabda: “Maka sesungguhnya hartanya adalah apa yang telah digunakan, sedangkan harta pewarisnya adalah apa yang ditinggalkan.”

Riwayat al-Bukhari (6442)

Hikmah yang lain betapa Hakim bin Hizam enggan menerima pemberian walaupun sesudah wafat Rasulullah SAW daripada Khalifah Umar ibn al-Khattab semata-mata bercita-cita untuk membuktikan kebenaran janjinya kepada Nabi SAW sehingga Allah SWT memberkatkan rezekinya sekalipun sedikit dan menjadikan tangannya sentiasa di atas yang bersifat memberi dan bukan menerima. Bahkan, beliau banyak berinfak tanpa merasa takut akan jatuh miskin atau kekurangan harta. Inilah yang terjadi kepadanya. Beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Muawiyah dan sesungguhnya beliau di antara orang Quraisy yang paling kaya sekalipun beliau banyak berinfak. Antaranya ketika beliau melaksanakan ibadat haji, beliau telah menghadiahkan atau berinfak 1,000 ekor unta dan 1,000 ekor kambing. Ketika beliau berwukuf di Arafah, bersamanya terdapat 100 orang hamba sama ada lelaki atau perempuan pada leher-leher mereka rantai yang diperbuat daripada perak yang tertulis padanya “Mereka yang dimerdekakan oleh Allah daripada Hakim bin Hizam.”

Begitu juga, beliau selepas masuk Islam, bangunan Darul Nadwa[1] menjadi miliknya. Lantas, dijualnya kepada Muawiyah dengan harga 100 ribu dirham dan beliau bersedekah semua duitnya tersebut. Beliau berkata, “Aku beli dengan bangunan tersebut dengan bangunan dalam syurga.

Tatkala ia dicela oleh Abdullah bin Zubair seraya berkata, “Kamu menjualnya sebagai tanda kamu bangsawan Quraisy.” Lantas jawabnya, “Wahai anak saudaraku, telah hilanglah segala kemuliaan kecuali dengan taqwa.”

Hakim bin Hizam telah membeli Zaid bin Harithah selepas ditawan dari Syam. Kemudian, beliau telah menghadiahkan Zaid bin Harithah kepada ibu saudaranya, Khadijah. Al-Zubair bin al-Awwam pernah berkata, “Islam datang dan pada tangan Hakim terdapat sekumpulan manusia di bawahnya. Beliau telah melakukan perkara yang makruf dan baik di samping memelihara hubungan silaturrahim.”

Dalam riwayat yang sahih, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Perkara (kebaikan) yang aku lakukannya pada zaman jahiliyyah, adakah aku akan diberi pahala? Jawab Baginda SAW:

أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ

Maksudnya: “Engkau memeluk Islam bersama dengan pahala kebaikan yang lalu (yang telah engkau kerjakan sebelum ini).”

Riwayat al-Bukhari (5992) dan Muslim (123)

Dalam menjelaskan hadis di atas, Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari (9/209) menyebut: Dalam hadis ini, Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang masuk Islam dari golongan Ahli Kitab dengan memberikannya pahala atas kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukannya ketika masa Jahiliah. Hal ini juga sesuai dengan hadis Nabi yang lainnya, iaitu: “Apabila seorang yang kafir masuk Islam dan berislam dengan baik, maka Allah akan mencatat semua amal kebaikan yang pernah ia lakukan (sebelum masuk Islam).” Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: Sebahagian ulama’ berkata: Maksud hadis di atas ialah bahawa setiap orang musyrik yang masuk Islam, akan dicatat semua pahala dari amal kebaikan yang pernah dia lakukan sebelum masuk Islam. Dan tidak dicatat semua kejahatannya. Kerana Islam telah menghapus segala bentuk kesyirikan sebelumnya dan mencatat semua kebaikannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/209; Lihat juga Keajaiban Sedekah, hlm. 55-57)

Inilah yang dilakukan oleh golongan yang berjaya dalam menguruskan hartanya dengan seterbaik mungkin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Dar al-Nadwah merupakan bangunan yang dibina oleh Bani Quraisy di Makkah sebagai tempat pertemuan para pembesar. Segala pertemuan untuk keputusan pengadilan, mesyuarat tentang perang dan perdamaian, pernikahan akan dibincangkan oleh suku Quraisy dilakukan di sini. Selain pembesar dan anggota keluarga Quraisy, hanya orang yang berusia atas 40 tahun sahaja yang dibenarkan memasuki bangunan ini. Antara peristiwa penting yang dibincangkan di sini ialah perjanjian Khuza’ah dan Bani Hasyim, Hilf al-Fudhul dan konspirasi pakatan jahat untuk membunuh Rasulullah turut dibincangkan di sini.

Dar al-Nadwah pada asalnya dibina oleh Qusai bin Kilab. Setelah kematian Qusai, Dar al-Nadwah dipimpin oleh anaknya bernama Abd al-Dar. Setelah berlaku perselisihan antara anak-anak Abd al-Dar dan anak-anak Abdu Manaf berkaitan kepimpinan berikutnya, pada akhirnya anak-anak Abd al-Dar berjaya mendapatkannya. Hal tersebut berterusan sehinggalah Hakim bin Hizam membeli Dar al-Nadwah daripada Mansur bin Amir bin Hisyam bin Abdu Manaf bin Abd al-Dar bin Qusai. Setelah itu, Ikrimah bin Hisyam membelinya daripada Hakim bin Hizam. Pada masa Islam, dia menjualnya kepada Muawiyah dengan harga 100,000 dirham. Muawiyah lalu menjadikan Dar al-Nadwah sebagai Dar al-Imarah Makkah.