#489 Ancaman Memutuskan Silaturrahim

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum memutuskan hubungan silaturrahim dan tali persaudaraan dengan menganggap seseorang sebagai bukan daripada ahli keluarganya. Sedangkan pada hakikatnya, mereka memiliki hubungan kekeluargaan. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Maksud Hubungan Silaturrahim

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”.

Al-Raghib al-Asfahani menyebut: “Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.” (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347)

Antara hadis yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya“Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.” 

Riwayat al-Bukhari (5983)

Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj1/287)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut: Al-Rahim (الرحم) secara umum adalah dimaksudkan kepada kaum kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis keturunan (nasab), sama ada berhak mewarisi atau tidak, dan sebagai mahram atau tidak. Menurut pendapat lain, mereka adalah daripada mahram (kerabat dekat yang haram dinikahi) sahaja. Pendapat pertama lebih kuat kerana menurut batasan kedua, anak-anak saudara dan anak-anak ibu saudara bukan kerabat yang dekat kerana tidak termasuk yang haram dinikahi, sedangkan ia tidaklah sedemikian. (Lihat Fath al-Bari, 10/414)

Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebut bahawa silaturrahim adalah ungkapan berkenaan berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat – sama ada mengikut garis keturunan atau melalui perkahwinan – berlemah lembut dan mengasihi mereka serta mengambil cakna akan hal keadaan mereka. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/645)

Ibn al-Athir pula menyebut: “Banyak hadith yang menyebutkan berkenaan silaturahim. Ia merupakan kinayah (yang memberi maksud secara tidak langsung) untuk perbuatan baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan nasab, atau kerabat kerana hubungan pernikahan, dengan berlemah-lembut dan memberi kasih sayang kepada mereka serta mengambil peduli akan hal keadaan mereka. Manakala memutuskan silaturrahim adalah lawan daripada semua perkara itu.” (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/645)

Allah SWT berfirman:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

MaksudnyaDan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

(Surah al-Nisa’:1)

Ibn Kathir menukilkan bahawa al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.

Sebahagian ulama membaca ” والأرحامِ ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamirبِهِ“, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا مِن بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَـٰئِكَ مِنكُمْ ۚ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Anfal:75)

Ibn Kathir berkata: Bukanlah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT: “وَأُولُو الْأَرْحَامِ” (orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat) dengan bersifat khusus sepertimana yang dikemukakan oleh para ulama’ ahli ilmu faraidh, iaitu kaum kerabat yang tidak hanya mempunyai hak pewarisan secara fardhu dan juga asobah, tetapi semua pewaris seperti ibu saudara dan bapa saudara dari sebelah ibu, ibu saudara dari sebelah ayah, anak lelaki daripada anak perempuan (cucu), anak lelaki daripada saudara perempuan (anak saudara) dan lain-lain sebagaimana yang diakui oleh sebahagian mereka dengan menggunakan dalil ayat al-Quran, bahkan mereka meyakini hal itu dengan jelas. Namun, yang benar adalah bahawa ayat tersebut bersifat umum yang merangkumi seluruh kerabat seperti yang ditegaskan oleh Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan ulama yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat).”

(Surah al-Ra’d:21)

Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka mengikat tali perhubungan silaturrahim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Lalu mereka bergaul dengan kaum kerabat dengan perasaan penuh kecintaan dan kebaikan. Seterusnya mereka berbuat kebaikan kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan pertolongan antara mereka dengan memberikan kebaikan kepada mereka dan menjauhkan bahaya daripada mereka mengikut kemampuan yang mereka ada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3510)

Berdasarkan nas dan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa antara maksud silaturrahim adalah menyambung hubungan antara kaum kerabat sama ada melalui garis keturunan atau melalui perkahwinan dengan pelbagai cara seperti mengunjungi mereka, memberi bantuan kepada mereka ketika memerlukan, mengambil cakna akan hal keadaan mereka dan seumpamanya.

Ancaman Memutuskan Silaturrahim

Memutuskan silaturrahim adalah termasuk antara–dosa dosa besar secara ijmak ulama. Memutus silaturrahim boleh berlaku dengan memencilkan hati rahimnya/kerabat terdekatnya dan meminggirkan mereka sama ada dengan cara tidak berbuat ehsan kepada mereka seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan sedangkan kita berkemampuan daripada sudut kewangan atau tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan adalah seperti seseorang itu hilang sesuatu yang boleh menyatukan hubungan dengan mereka seperti hilang harta atau pun ada harta tapi harta tersebut hanya memenuhi hajatnya sahaja yang lebih utama untuk dibelanjakan.

Rasulullah bersabda SAW:

لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Maksudnya:  “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”

Riwayat al-Bukhari (5991)

Hadis ini mengisyaratkan bahawa seorang lelaki yang menyambungkan hubungan dengan rahimnya/ kaum kerabatnya yang tidak menyambungkan hubungan dengannya lagi adalah lebih afdhal daripada dia menyambungkan hubungan dengan kaum kerabatnya yang tidak memutuskan silaturrahim dengannya kerana itu antara akhlak baik yang amat disarankan oleh syarak.

Imam al-Nawawi menyatakan: “Menghubungkan silaturrahim bermaksud berlaku ehsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung ; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim2/201)

Memutuskan silaturrahim boleh berlaku dengan cara menyakitinya, tidak menziarahinya, lalu datang rasa dipencilkan di dalam hatinya, atau mereka adalah kerabat fuqara yang sangat berhajat kepada bantuan sedangkan seseorang itu mempunyai harta yang melebihi hajatnya, selain itu juga dia mampu membantunya, namun begitu dia tetap juga tidak mahu membantunya.

Allah SWT berfirman,:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

(Surah al-Nisaa’:1)

Allah SWT berfirman lagi :

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ ﴿٢٢﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّـهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰ أَبْصَارَهُمْ

Maksudnya“Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?, (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.”

(Surah Muhammad: 22-23)

Ayat ini menjelaskan kepada kita agar kita takut kepada Allah untuk tidak memutuskan silaturrahim.

Berdasarkan ayat ini Imam Al-Qurtubi menyatakan berkaitan perkataan أَرْحَامَكُمْ: “Perkataan Rahim boleh membawa makna Umum dan Khusus. Dimaksudkan dengan makna Umum ialah kerabat dari sudut Agama. Mereka ialah saudara-saudara kamu seagama walaupun diantara kamu tiada pertalian kerabat. Maka wajib kamu menyambungkan silaturrahim berdasarkan keimanan dengan cara berkasih-sayang tolong-menolong, nasihat-menasihati, tidak memudharatkannya, berlaku adil, memberi hak yang sepatutnya dan menunaikan hak-hak yang wajib seperti memunaikan hak-hak orang yang meninggal dunia seperti memandikan, solat atasnya , mengebumikan dan juga hak-hak yang harus seperti menziarahinya ketika sakit.

Adapun rahim dari sudut yang khusus ialah membawa makna kaum kerabat dari sebelah pihak bapa dan ibu. Maka wajib bagi mereka menunaikan hak yang khusus seperti memberi nafkah bersesuai dengan keadaaan mereka dan tidak melalaikan perkara yang dijanji pada waktu-waktu yang mereka perlukan.(Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Quran8/164)

Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ والْيوم الآخِر، فَلْيصلْ رَحِمَهُ …

Maksudnya“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah seseorang itu menyambung silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (4830)

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ أَحبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ في رِزقِهِ ويُنْسأَ لَهُ في أَثرِهِ فَلْيصِلْ رحِمهُ

Maksudnya“Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Diriwayatkan oleh daripada daripada hadith Jubair bin Muth’im R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ

Maksudnya“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.” 

Riwayat Al-Bukhari (2408) dan Muslim (593)

Maksud “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal (bukan ertinya dia tidak akan masuk syurga selama-lamanya sedangkan dia memiliki Iman).

Kaedah Bersilaturrahim dan Keadaan Diharuskan Memutus Silaturrahim

Bersilaturrahim mempunyai pendekatan dan cara yang pelbagai. Antaranya:

  • Jika kamu boleh menziarahi rahimmu/kaum keramat terdekat denganmu maka jangan sekali kamu mengabaikannya. Hendaklah kamu menziarahi mereka. Tidak memadai kamu mengirimkan salam kepada mereka tanpa menziarahi mereka. Dalam beberapa keadaan memang memadai hanya dengan mengirimkan salam. Adapun jika berada di tempat yang sama, negeri yang sama, daerah yang sama kemudian tidak pula menziarahinya dalam jangka masa setahun, tidak juga dalam 2 tahun dan tidak juga menziarahnya pada tahun yang ketiganya, sedangkan dia mampu melakukannya maka inilah dosa memutuskan silaturrahim.
  • Adapun jika rahim atau kerabat terdekat tersebut tidak suka kerabatnya ini memasuki rumahnya dan dia tidak pula redha orang tersebut berbuat demikian serta orang tersebut ini pula tahu bahawa dia tidak menyenangi/tidak redha dia memasuki rumahnya maka tiada dosa dikenakan ke atasnya kerana kerabatnya itu tidak redha dia berbuat demikian. Jatuh tanggungjawab tersebut daripadanya. Walaupun begitu, dia masih lagi perlu bertindak mengirimkan salam kepadanya atau menyampaikan salam secara bertulis mahupun telefon. Lebih mudah lagi pada zaman ini dengan adanya sms, laman sosial, whatsapp, twitter dan sebagainya.
  • Namun, jika kerabatnya amat suka dia masuk ke rumahnya dan dia dibenarkan duduk di dalam rumahnya, maka tidak memadai dengan hanya mengirimkan salam bagi tempoh yang lama tidak bersua. Adapun jika dah berjumpa dengannya sebelum ini dalam tempoh yang terdekat maka sudah memadai dengan hanya kiriman salam.
  • Adapun jika seseorang itu memiliki keuzuran seperti dia berada di tempat yang jauh, atau luar negeri atau luar negara dan tidak mudah baginya untuk pergi menziarahi kaum kerabatnya, jika dia menghilangkan diri misalnya 3 tahun sedangkan dia masih lagi mengirimkan salam dari semasa ke semasa maka itu tidak mengapa.
  • Jika dia menziarahi kaum kerabatnya tetapi dia tidak mendapati dia di rumah, maka hendaklah orang tersebut meninggalkan pesanan di atas pintu rumahnya atau kepada jirannya: “ Saya adalah si fulan, saya telah datang menziarahimu tetapi saya dapati kamu tiada di rumah”, ini sudah memadai.

Antara keuzuran atau alasan yang menyebabkan seseorang itu dibenarkan tidak menziarahi kerabatnya/rahimnya seperti dia mendengar bahawa kaum kerabatnya ini telah melakukan riddah/murtad seperti mencaci Allah, para nabi, malaikat, atau mempersendakan al-Quran dan seumpamanya, maka orang ini tidak perlu lagi disambung hubungan silaturrahim dengannya.

Diharuskan memutuskan silaturrahim sekiranya kerabatnya itu fasiq disebabkan sikapnya meminum arak, meninggalkan solat, berzina dan seumpamanya. Perlu diingat tidak diharuskan memutuskan silaturrahim dengannya melainkan setelah memberitahunya terlebih dahulu apakah sebab kita bertindak sedemikian agar dia sedar dan meninggalkan perbuatan keji tersebut.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ

Maksudnya“ Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, – mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.”

(Surah ar-Ra’d : 25)

Ibnu Abi Jamrah berkata: “Silaturrahim boleh dilakukan dengan harta, menolongnya ketika ia berhajat, membantunya menolak kemudharatan, bermuka manis, berdoa. Semua ini dilakukan sekiranya kaum kerabat tersebut mereka istiqamah di dalam kebaikan. Namun, sekiranya mereka golongan kuffar dan sering melakukan kejahatan maka memutuskan silaturrahim dengan mereka dengan niat kerana Allah SWT dan berusaha menasihati mereka (mengikut kadar kemampuan) kemudian memberitahu sekiranya ia berttrusan di dalam kejahatan yang dilakukan maka itulah menjadi sebab terputusnya silaturrahim. Maka tindakan inilah sebenarnya dinamakaan silaturrahim dengan mereka.” (Lihat Fath al-Bari Syarah Sohih Al-Bukhari13/521)

Namun, perlu diingat bahawa hubungan dengan mereka (yang fasik dan jahat ini) masih berterusan walaupun telah terputus, dengan sentiasa berdoa kepada mereka supaya Allah SWT memberi hidayah kepada mereka agar berubah ke arah kebaikan.

Nabi SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ يَاَ

Maksudnya: “Wahai Manusia sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah diwaktu malam hal keadaan manusia sedang tidur, maka masuklah kamu ke dalam Syurga dengan sejahtera dan selamat.

Riwayat Ibnu Majah (3251)

Hadis ini menerang dan meminta kita lakukan empat perkara iaitu:

Pertama:   Sebarkanlah salam iaitu memberi salam kepada orang kamu kenal ataupun tidak.

Kedua:      Memberi makan dan minum kepada terutama kepada mereka yang memerlukan.

Ketiga:      Sambunglah silaturrahim antara kaum kerabat.

Keempat: Solatlah dimalam hari diwaktu manuasia sedang tidur. Bermunajat kepada Allah SWT.

Memutuskan silaturrahim adalah antara sebab kenapa disegerakan azab seseorang di dunia lagi sebelum tibanya Hari Akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِثْلُ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ

Maksudnya: “Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga di samping yang sedang menantinya di Hari akhirat dibanding dengan dosa menzalimi manusia dan dosa memutuskan silaturrahim.”

Riwayat Abu Daud (4902), al-Tirmizi (2511) dan Ibnu Majah (4211)

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُمِدَّ اللَّهُ لَهُ فِي عُمُرِهِ وَيُوَسِّعَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيَدْفَعَ عَنْهُ مَيْتَةَ السُّوءِ فَلْيَتَّقِ اللَّهَ وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya“Sesiapa yang ingin umurnya panjang, mendapat rezeki yang luas, dan menolak sesuatu yang buruk (bencana/musibah) maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan silaturahim.”

Riwayat Imam Ahmad (1171) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3108)

Penutup

Maka, berdasarkan nas-nas yang diberikan maka menjaga dan menghubungkan silaturrahim merupakan perkara yang dituntut di dalam agama. Semoga kita bersama-sama termasuk di dalam golongan yang menyambung dan memelihara silaturrahim. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H