#4890: Kaya yang Hakiki

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Dalam Islam, siapakah orang yang kaya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rasulullah SAW pernah berdoa untuk kaya. Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Nabi SAW biasa membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Riwayat Muslim (2721)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “ ‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhkan dan menahan diri daripada perkara yang diharamkan. Manakala al-ghina (الْغِنَى) ialah hati yang selalu merasa cukup dan tidak berhajat kepada apa yang ada di sisi manusia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/41)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: “al-Huda (الْهُدَى) bermaksud hidayah yang sempurna. Al-Tuqa (التُّقَى) ertinya ketakwaan yang menyeluruh. Al-‘Afaf  (الْعَفَافَ) bermaksud al-kafaf (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al-Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf  bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” Manakala al-ghina (الْغِنَى) bererti kekayaan hati, iaitu merasa cukup dari apa yang ada pada manusia. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 5/1721)

Ibn ‘Allan al-Syafi’e menyebut: “Al-‘afaf bermaksud terhindar daripada segala maksiat dan keburukan. Al-ghina pula bererti tidak ada perasaan berhajat kepada makhluk. (Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

Maksud kaya ialah mereka yang memiliki harta, wang ringgit, emas perak dan lain-lain. Ia amat berharga dan bernilai bagi manusia. Tetapi, maksud kaya yang lebih luas bukan hanya kepada pemilikan harta yang banyak, tetapi kekuatan jiwa yang benar-benar menguasai diri seseorang itu.

Sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَيْسَ الغِنَى عَنْ كَثْرَةِ العَرَضِ، وَلَكِنَّ الغِنَى غِنَى النَّفْسِ.

Maksudnya: “Kekayaan itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati.”

Riwayat al-Bukhari (6446)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”