Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada atau tidak mereka yang dikurniakan syurga tanpa hisab?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Puncak nikmat yang terbesar adalah masuk syurga dan dapat melihat wajah Allah SWT.
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: “Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(Surah Yunus: 26)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Orang-orang yang berbuat baik itulah yang memperoleh kebaikan iaitu Syurga yang sempurna kebaikannya dan sebuah tambahan iaitu melihat Wajah Allah yang mulia, mendengar Firman-Nya, meraih redha-Nya, berbahagia dengan kedekatan kepada-Nya. Dengan ini terwujudlah harapan tertinggi yang diharapkan oleh orang-orang yang berharap dan sesuatu yang dimohon oleh orang-orang yang memohon. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 332)
Menjawab persoalan di atas, terdapat nas menunjukkan bahawa ada yang dapat masuk syurga tanpa hisab. Daripada Ibn Abbas RA: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ، هُمُ الَّذِينَ لاَ يَسْتَرْقُونَ، وَلاَ يَتَطَيَّرُونَ، وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ.
Maksudnya: “Tujuh puluh ribu orang daripada umatku akan memasuki syurga tanpa hisab, mereka itu adalah orang yang tidak melakukan ruqyah (cara perubatan dengan membaca bacaan-bacaan tertentu), mereka tidak melakukan tatayyur (penentuan nasib malang menggunakan burung[1]) dan hanya kepada Tuhan mereka berserah diri.”
Riwayat al-Bukhari (6472)
Imam al-‘Aini menjelaskan: Maksud mereka tidak minta diruqyah, iaitu yang dilakukan oleh tuan jampi seperti demam, kena rasuk dan seumpamanya. Telah datang sebahagian hadis mengharuskannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Maksud larangan tersebut adalah apabila dijampi bukan dengan bahasa arab yang difahami dan bukan dengan nama-nama Allah serta sifat-Nya. (Lihat Umdah al-Qari, 23/69)
Ibnul Qayyim menyebut bahawa sifat utama dari 70,000 orang tersebut terkumpul pada sifat tawakkal. Kerana tawakkal mereka yang sempurna; iaitu mereka tidak meminta diruqyah, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan tidak beranggapan sial. (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, 3/1483)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota kaki:
[1] Rujuk Ta`liq Mustofa al-Bugha. 7/126.