Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith Nabi SAW bahawa syurga dan neraka lebih dekat daripada tali selipar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(Surah Ali Imran: 133)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Abdullah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
الجَنَّةُ أَقْرَبُ إِلَى أَحَدِكُمْ مِنْ شِرَاكِ نَعْلِهِ، وَالنَّارُ مِثْلُ ذَلِكَ.
Maksudnya: “Syurga itu lebih dekat kepada seseorang berbanding tali kasutnya, dan neraka juga seperti itu.”
Riwayat al-Bukhari (6488)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘شِرَاكِ ’ bermaksud bahagian alas kaki yang dimasuki oleh jari kaki. Juga sebagai sebutan alas kaki untuk melindungi kaki.
Beliau menukilkan daripada Ibn al-Jauzi berkata: Makna hadith ini bahawa menggapai syurga itu mudah, iaitu dengan membetulkan niat dan melakukan ketaatan. Demikian juga neraka, iaitu dengan menuruti hawa nafsu dan melakukan kemaksiatan. (Lihat Fath al-Bari, 31/304)
Sebenarnya syurga amat mudah dimasuki oleh orang yang dimudahkan Allah kepadanya. Tetapi ia menjadi sukar kepada orang yang tidak diberi kemudahan oleh Allah SWT.
Daripada Muaz bin Jabal R.A, katanya: “Wahai Rasulullah SAW, ceritakanlah kepadaku suatu amalan yang akan memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkanku daripada neraka.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:
لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ عَظِيمٍ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللهُ عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ الْبَيْتَ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْـخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْـمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ تَلَا: (تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْـمَضَاجِعِ) حَتَّى بَلَغَ (يَعْمَلُونَ)، [سورة السجدة : 16 – 17]
ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللهِ ، وَإِنَّا لَـمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ، وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu telah tentang sesuatu yang agung. Sesungguhnya ia adalah mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah SWT: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji.
Kemudian baginda berkata: “Mahukah kamu kiranya aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan: Puasa itu benteng (pemelihara), sedekah menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki di tengah malam, kemudian baginda membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin mendermakan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepada mereka. Maka tidak ada seseorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”
Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu kiranya aku ceritakan kepadamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan kemuncaknya?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!” Sabda Baginda: “Kepala segala urusan ialah Islam, tunggaknya
ialah sembahyang dan kemuncaknya adalah jihad.”
Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah” Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Kamu mesti menjaga ini!” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan?” Baginda menjawab: “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka meraka – dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan hasil tuaian ini adalah ada lidah mereka?”
Riwayat al-Tirmizi (2619) dalam bab Iman iaitu bab “Hadis-hadis yang menceritakan tentang kehormatan sembahyang”, Ibn Majah (3973) dan Ahmad (5/231)
Kami katakan taufik secara keseluruhannya merupakan milik Allah SWT. Maka, Allah SWT memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menghalang sesiapa yang Dia kehendaki. Hal ini jelas dinyatakan oleh Rasulullah SAW, “Sesungguhnya ia sesuatu yang mudah bagi sesiapa yang Allah SWT mudahkan.” Maka, kita perlu bersungguh-sungguh memohon kepada Allah agar dikurniakan taufik dan kemampuan untuk melakukan ketaatan kepadaNya. Di samping itu, mencurahkan segala usaha dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. (Lihat al-Kafi, hlm. 310)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”