#4898: Keadaan Ketika Bertemu Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana keadaan kita ketika bertemu Allah di hari akhirat kelak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami nyatakan firman Allah SWT:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Yakni, dan keadaan bahawa kami ini milik Allah, bersama itu, kami juga akan kembali kepada-Nya pada hari kebangkitan nanti. Lalu Dia akan membalas setiap perbuatan dari pelakunya, apabila kami bersabar dan hanya mengharap pahala di sisi-Nya kami akan memperoleh ganjaran secara sempurna di sisi-Nya, namun bila kami tidak bersabar dan mencaci maki, nescaya kami tidak memiiliki apa-apa kecuali hanya murka dan lenyapnya pahala. Keberadaan seorang hamba bahawa dia milik Allah dan akan kembali kepada-Nya adalah faktor terbesar yang menyebabkan tumbuhnya kesabaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 221)

Dan kita beriman kepada adanya hari bangkit untuk diperhitung amalan baik dan buruk. Adapun keadaan bertemu Allah apabila dibangkitkan dalam keadaan sebagaimana hadith nabi SAW: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW berkhutbah di atas mimbar, lalu bersabda:

إِنَّكُمْ مُلاَقُو اللهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا.

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan tidak berkhitan.”

Riwayat al-Bukhari (6526)

Hal ini menyebabkan Aisyah merasa malu dan bertanya kepada Rasulullah SAW, lantas Rasulullah SAW menyatakan hal ketika itu melupakan kita daripada sifat malu.

Itulah permulaan kebangkitan manusia menuju ke padang mahsyar yang cukup mencabar. Ketika itu, keadaan seseorang berdasarkan kepada iman mereka dan amalan soleh. Maka benarlah dunia sebagai ladang akhirat dan diperlihatkan pada hari tersebut serta didedahkan di mahkamah Allah yang Maha Adil tanpa menzalimi seseorang pun. Firman Allah SWT:

 وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya:  Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

(Surah al-Kahfi: 49)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”