#4899: Peluh Hari Kiamat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat peluh pada hari Kiamat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

أَلَا يَظُنُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ ٤ لِيَوْمٍ عَظِيمٍۢ ٥ يَوْمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?”

(Surah al-Mutaffifin: 4-6)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, benar. Sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَعْرَقُ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يَذْهَبَ عَرَقُهُمْ فِي الأَرْضِ سَبْعِينَ ذِرَاعًا، وَيُلْجِمُهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ آذَانَهُمْ.

Maksudnya: “Manusia akan berpeluh pada Hari Kiamat sehingga keringat mereka mengalir di tanah hingga tujuh puluh hasta (dalamnya) dan menenggelamkan mereka sehingga mencecah telinga-telinga mereka.”

Riwayat al-Bukhari (6532)

Sesungguhnya peluh berdasarkan kepada dosa yang dilakukan oleh manusia, banyak atau sedikit, kerana perihal pada hari itu, masing-masing berada dalam ketakutan dan hanya bimbang tentang diri masing-masing. Firman Allah SWT:

يَوْمَ يَفِرُّ ٱلْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ ٣٤ وَأُمِّهِۦ وَأَبِيهِ ٣٥ وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَبَنِيهِ ٣٦ لِكُلِّ ٱمْرِئٍۢ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍۢ شَأْنٌۭ يُغْنِيهِ

Maksudnya: Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; – Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(Surah Abasa: 34-37)

Marilah sama-sama kita meningkatkan amalan dan sentiasa bertaubat dan sentiasa beristighfar kepada Allah agar Allah mengampuni dosa kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”